ANTARA hasil kerja tangan Khalis.
ANTARA hasil kerja tangan Khalis.
PELBAGAI proses perlu dilakukan sebelum mendapatkan hasil seramik berkualiti.
PELBAGAI proses perlu dilakukan sebelum mendapatkan hasil seramik berkualiti.
Hajahfarhana Tarmudi


Setiap manusia dilahirkan dengan anugerah dan kelebihan masing-masing. Bakat yang dimiliki itu tidak seharusnya disia-siakan, sebaliknya asahlah mengikut acuan yang betul.

Muhammad Khalis Mohd Zalani, 27, berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini sedar mengenai minatnya dalam dunia seni kraf seramik.

Dia mula mempelajari seni kraf seramik pada 2008 di Institut Kraf Negara, Rawang untuk mendapatkan sijil. Pembelajaran selama dua tahun itu tidak terhenti di situ saja dan dia mengambil keputusan menyambung pengajian di peringkat diploma dalam bidang sama.

Selepas tamat diploma, dia menyambung kursus dalam bidang berkenaan di Yogyakarta, Indonesia selama lebih sebulan bagi mendapatkan teknik yang lebih mendalam mengenai pembuatan seramik.

“Selepas pulang ke tanah air awal 2013, saya terus bekerja sendiri hinggalah sekarang di Wakaf Ketamguri yang terletak di dalam Institut Kraf Negara.

“Saya bermula dengan membuat dekorasi seramik iaitu projek khas di bawah institut itu selama dua tahun. Pada masa sama, saya jalankan perniagaan sendiri dengan menerima tempahan membuat seramik ataupun mengadakan demonstrasi.

“Ketika itu, saya memberi tumpuan kepada perniagaan seramik bersaiz besar seperti pasu yang digunakan untuk hiasan dalaman atau landskap selama dua tahun,” katanya.

Namun, apabila keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika itu, jumlah pembeli dan permintaan semakin berkurangan menyebabkan dia terpaksa mencari idea untuk memperkenalkan seramik secara lebih meluas kepada masyarakat di negara ini.

Di dalam keadaan cemas, tercetus idea untuk mengetengahkan seramik yang bersaiz kecil untuk dijadikan cenderahati perkahwinan atau agensi korporat di majlis istimewa dan keraian.

Tanpa disangka idea berkenaan mendapat sambutan ramai dan sejak itu banyak tempahan mula diterima setiap bulan hinggakan dia tidak menang tangan untuk melakukannya seorang diri.

Pelbagai hasil seramik ditampilkan seperti bekas telur dan mug dengan rekaan yang menarik berjaya menarik perhatian pelanggannya ketika itu di bawah jenamanya sendiri, Khalis Deco.

Bukan itu saja, dia turut membuat magnet hiasan, kerongsang dan pemegang pen mengikut rekaannya sendiri atau tema diinginkan pelanggan.

Ketengahkan keunikan seramik

Jika dulu, seramik sering kali dikaitkan dengan labu sayung dan pasu saja, kini Khalis berusaha menolak kenyataan itu dengan melakukan pelbagai kajian untuk membuktikan kepada masyarakat khususnya generasi muda bahawa cabang bidang ini yang sangat luas.

Dia tidak jemu mengkaji keunikan seramik dan kini Khalis sedang menghasilkan peralatan hidroponik untuk digunakan sebagai alat penanaman dalam pejabat menggunakan tanah liat selain lesung batu daripada seramik.

Pada masa sama, sejak setahun kebelakangan ini dia banyak mengadakan kelas dan menjadi tenaga pengajar untuk mengetengahkan keunikan dan ketelitian pembuatan seramik.

“Maksud seramik itu sendiri adalah tanah liat yang dibentuk dan dibakar. Justeru, ia melalui pelbagai proses yang memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi untuk mendapatkan hasil yang kemas serta berkualiti.

“Di dalam kelas berkenaan, pada awalnya saya banyak mengajar mewarna di atas seramik kepada peserta yang terdiri daripada kanak-kanak tadika hingga dewasa.

“Kini, saya memperbanyakkan aktiviti di dalam kelas seperti bermain dengan tanah liat dan teknik betul menghasilkan seramik untuk memastikan setiap peserta memahami keistimewaannya di samping menghargai kerja tangan pembuat seramik,” katanya.

Baginya, kelas seramik itu penting untuk memperkenalkan masyarakat mengenai maksud dan pembuatan seramik serta cabang yang boleh diceburi dalam bidang berkenaan.

Jika dilihat secara mendalam, sebenarnya seramik juga digunakan dalam teknologi pembuatan barang elektrik dan peralatan motor seperti fius dan plug motor, menunjukkan bidang berkenaan sebenarnya berpotensi untuk diterokai oleh generasi muda yang sangat kreatif pada hari ini.

Bukan itu saja, peralatan dalam rumah seperti sinki, mangkuk tandas, jubin dan banyak lagi juga dihasilkan daripada seramik. Namun disebabkan pengetahuan yang sedikit akibat kurang pendedahan, tidak ramai generasi muda yang mendalami bidang ini berbanding kerjaya lain.

“Memang saya faham kebanyakan orang hari ini bekerja untuk mendapatkan duit. Justeru, saya nak tunjukkan tanah liat boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk yang mampu menjana pendapatan.

“Kini saya aktif membuat demonstrasi membuat seramik seperti mangkuk dan pasu di acara tertentu, pusat beli-belah dan sekolah jika berkesempatan serta diberi peluang.

“Banyak acara besar yang dihadiri termasuk Hari Kraf Kebangsaan, sambutan Hari Belia, Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya (FLORIA Diraja Putrajaya) dan sebagainya untuk memperkenalkan lagi bidang ini di mata masyarakat,” katanya.

Proses hasilkan seramik

Kita perlu faham menghasilkan seramik ini perlu melalui banyak proses dan jika mahu menempah pastikan ia dibuat lebih awal.

Ini kerana untuk menyiapkan produk seramik saja mengambil masa satu ke dua minggu, bergantung kepada bentuk dan saiz rekaan yang dihasilkan.

“Kebanyakan produk ambil masa seminggu ke dua minggu untuk siap kerana perlu melalui pelbagai peringkat proses pembuatan bermula membentuk, mengering, membakar dan menghias.

“Proses pengeringan kadang kala agak mencabar kerana ia bergantung kepada keadaan cuaca pada masa itu. Jika produk yang direka tidak betul-betul kering, ia akan meletup apabila dibakar.

“Bagi proses pembakaran pula, saya lakukan dua kali dengan suhu berbeza. Di akhir pembakaran, saya akan membakar produk rekaan sehingga 1,200 darjah Celsius untuk membentuk kesan kaca yang licin pada seramik,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik ini mengakui masanya banyak dihabiskan di wakaf berkenaan bermula pagi hingga ke malam jika ada tempahan yang perlu disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2016 @ 5:20 AM