AKSESORI ini menarik digayakan.
AKSESORI ini menarik digayakan.
SERAMIK sinonim dengan kraf dan aksesori perhiasan diri.
SERAMIK sinonim dengan kraf dan aksesori perhiasan diri.

Tanah liat sangat sinonim dengan penghasilan seramik terutama untuk dekorasi dan perhiasan.

Lain pula bagi Ursula Lau Lea Mee, 57, apabila menggunakan tanah liat sebagai bahan utama untuk menghasilkan aksesori loket (pendants) dan gelang.

Mula berkecimpung dalam bidang ini sekitar empat tahun lalu, wanita gigih dan bersemangat kental ini sering mencari kelainan dalam setiap produk dihasilkan.

“Saya mula berjinak-jinak dalam menghasilkan loket dan gelang daripada tanah liat apabila berkunjung ke pameran Inacraft di Indonesia satu ketika dulu.

“Dari situ tercetus idea dan saya bertekad menghasilkan produk unik serta menjadikan usahawan berkenaan sebagai idola,” katanya.

Lantas wujudlah Dione Hand Crafted Jewelry yang menghasilkan rantai dan gelang daripada tanah liat.

Malah, dia satu-satunya usahawan dari Sabah yang mengusahakan produk aksesori daripada seramik.

Ternyata usaha itu tidak sia-sia kerana produk dihasilkannya mendapat sambutan menggalakkan.

Menyentuh mengenai corak dan bentuk aksesori yang dihasilkan, setiap loket ada aura tersendiri hingga dia sendiri jatuh cinta pada reka coraknya.

Berpegang kepada situasi itulah dia lebih bersemangat selain yakin dengan sambutan orang ramai.

“Saya sentiasa mencuba dan terus mencuba untuk menghasilkan pelbagai corak supaya sesuai digayakan,” katanya.

Perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam menghasilkan aksesori ini ialah pemilihan tanah liat.

Tanah yang diadun mesti tidak terlalu kering atau terlalu basah.

Selepas dua jam, tanah liat itu dibentuk mengikut kreativitinya sendiri atau kehendak pelanggan.

Lebih menarik, dia turut menggunakan peralatan yang boleh diperoleh daripada kedai bakeri seperti acuan kuih untuk membentuk setiap aksesori.

Kira-kira 30 saat diperlukan untuk menghasilkan satu rekaan dalam satu-satu masa.

Selepas itu, tanah liat berkenaan dibakar selama lapan jam dengan suhu 1,060 darjah Celsius.

Bagi menjimatkan masa, dia membakar 300 hingga ke 400 kepingan tanah liat yang sudah siap dibentuk.

“Proses terakhir ialah mewarna dan ia antara cabaran buat saya.

“Selepas lapan jam keluar dari kiln atau tanur pembakar, baru boleh diwarnakan. Ada kalanya hasil campuran warna tidak menjadi.

“Ia memberikan saya pengalaman sangat berharga,” katanya.

Sempena Hari Kraf Kebangsaan 2016 yang berlangsung hingga 6 Mac ini, pelbagai produk kraf daripada 420 usahawan kraf seluruh negara dipamerkan.

Pelbagai aktiviti menarik seperti pameran produk rekaan baru dan warisan, aktiviti demonstrasi dan interaktif kraf, peragaan fesyen serta bicara dan bengkel kreatif.

Maklumat lanjut di hkk.kraftangan.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 9:52 AM