Penuntut Tahun Satu Jurusan Sijil Seni Kraf Kayu, Muhammad Ikram Razali, 19 menunjukkan ukiran Kayu yang di buatnya  di Festival Kraf Tekstil Pantai Timur di Dataran Rehal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Penuntut Tahun Satu Jurusan Sijil Seni Kraf Kayu, Muhammad Ikram Razali, 19 menunjukkan ukiran Kayu yang di buatnya di Festival Kraf Tekstil Pantai Timur di Dataran Rehal. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi

KEHALUSAN dan keunikan yang ada pada setiap ukiran menjadi pencetus minat kepada seorang remaja untuk menimba ilmu sebanyak mungkin dalam bidang ukiran kayu.

Muhammad Ikram Razali, 19, penuntut tahun satu jurusan Sijil Seni Kraf Kayu di Institut Kraftangan Negara bercita-cita untuk menjadi pengukir kayu yang tersohor suatu hari nanti.

Katanya, untuk menjadi pengukir, seseorang perlu mempunyai minat, kesungguhan serta kesabaran yang tinggi kerana sepanjang proses penghasilan untuk menyiapkan sesuatu ukiran kayu perlu ketekunan supaya hasilnya eksklusif.

“Bagi mereka yang sudah mahir dalam ukiran kayu kebiasaannya mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk menyiapkannya berbanding dengan saya yang masih dalam proses pembelajaran mengambil masa selama dua minggu.

“Walaupun, ia mengambil masa yang agak lama untuk saya siapkan sesuatu ukiran kayu, namun hasilnya sangat memuaskan,” katanya ketika ditemui di Festival Kraf Tekstil Pantai Timur, di Dataran Rehal, Kota Bahru.

Anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, dia kini boleh menguasai empat teknik ukiran iaitu teknik ukir separuh tembus, teknik ukir tembus bersilat, teknik ukir layang dan teknik kerawang.

“Namun saya lebih gemar menghasilkan ukiran teknik kerawang kerana ia lebih mudah berbanding teknik ukiran yang lain selain tidak perlu menggunakan peralatan seperti pahat dan tukul.

“Saya yakin sekiranya bidang ukiran kayu ini dilakukan secara serius, ia dapat menjana pendapatan yang lebih lumayan dan produk yang dihasilkan boleh dipasarkan ke luar negara,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun dua Diploma Seni Kraf Seramik, Nor Zulkhairy Harun, 24, berkata, seramik daripada tanah liat mempunyai nilai seni yang tinggi, malah ia antara warisan seni yang unik dengan nilai estetika tiada tolok bandingnya.

“Seramik begitu sinonim di hati masyarakat tempatan sebagai pasu, barang perhiasan dan kraftangan, tetapi pembuatannya bukan mudah kerana memerlukan sentuhan kesenian serta beberapa langkah yang perlu dituruti.

“Sebelum ini saya agak kekok untuk membentuk tanah liat bagi menghasilkan seramik kerana proses kerjanya agak cerewet selain mengambil masa, tetapi lama-kelamaan pembuatannya menjadi lebih mudah dan kini sudah sebati dalam diri saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 4:29 PM