REED (dua dari kiri) pada majlis pembukaan Piala Ryder 2016 di Chaska, semalam.
REED (dua dari kiri) pada majlis pembukaan Piala Ryder 2016 di Chaska, semalam.
AFP

Chaska, Amerika Syarikat: Skuad veteran Amerika Syarikat (AS) akan sekali lagi mencuba untuk memenangi kembali Piala Ryder manakala lawan mereka, Eropah yang dibarisi ramai pemain muda, mengimpikan untuk mencipta kejutan di bumi Amerika.

Pelbagai perkara berlaku sepanjang persiapan kedua-dua pasukan untuk mengharungi Piala Ryder edisi ke-41 yang akan dimulakan dengan acara foursomes diikuti four-ball.

“Saya sedia untuk mengenakan warna merah, putih dan biru, semuanya membawa makna besar buat saya,” kata pemain AS Patrick Reed. “Warna itu pasti membuatkan saya lebih bernafsu untuk mencabar. Saya harap dapat mengekalkan semangat juang sepanjang saingan ini.”

Tidak dapat dinafikan bahawa AS lebih tertekan untuk menang di Hazeltine.

Kali terakhir Piala Ryder dilangsungkan di bumi Amerika ialah pada 2012 di Chicago dan tuan rumah tewas apabila Eropah mempamer kebangkitan menakjubkan pada hari terakhir untuk menang 14 1/2-13 1/2 dan insiden itu dikenali sebagai “Miracle at Medinah.”

Seorang lagi pemain AS, Jordan Spieth mengharapkan penyokong supaya lebih riuh dan bersorak untuk menaikkan semangat pemain tuan rumah.

“Datang awal, tunggu di kotak tee 30 minit sebelum kami membuat pukulan kerana sebaik kami sampai, lawan akan sedar bahawa mereka bermain di tempat orang. Kami pula mahu rasa seperti berada di halaman sendiri,” kata Spieth.

Eropah pula memburu kemenangan keempat berturut-turut ke atas AS di Hazeltine. Setakat ini, Eropah menang enam daripada tujuh perlawanan serta lapan daripada 10 pertemuan kedua-dua pasukan.

Bermula pukulan tee pemain Eropah Justin Rose di lubang pertama hari ini, suasana di lapangan pastinya sengit.

“Ia adalah saat di mana anda perlu melakukan yang terbaik,” kata Rose dari England. “Ia pasti membuatkan anda tertekan dan anda tidak ada masa untuk melayan perasaan itu. Anda hanya perlu terus bermain dan mencatat sesuatu. Saya bersama Henrik (Stenson) akan cuba menghadirkan keputusan positif.”

Rose dan Stenson akan berdepan cabaran Spieth serta Reed pada perlawanan pertama acara foursomes - pertemuan dua pasangan yang tidak pernah tewas sejak acara 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 6:44 AM