Cyberjaya: Sumber tenaga elektrik dari solar fotovoltaik (PV) di Malaysia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya berikutan kurang pendedahan dan minat dalam kalangan individu dan pemain industri untuk memacu pertumbuhan sektor berkenaan.

Presiden Dewan Perniagaan Amerika Malaysia-Industri Alternatif dan Diperbaharui Malaysia (AMCHAM-MARI) P’ng Soo Hong berkata, negara seharusnya menggunakan kedudukan geografinya yang menerima kadar pencahayaan matahari yang tinggi sebagai kelebihan dalam memajukan industri itu.

P’ng yang juga Pengarah Urusan First Solar Sdn Bhd berkata, buat masa ini, penggunaan tenaga solar di Malaysia adalah kurang satu peratus daripada keseluruhan sumber tenaga elektrik di Malaysia.

Katanya kadar penggunaan tenaga solar di negara ini juga tidak selari dengan pencapaiannya sebagai negara ketiga terbesar di dunia selepas China dan Taiwan dalam pembuatan modul dan komponen fotovoltaik yang menukar cahaya matahari kepada tenaga elektrik.

Sejak 2008, jumlah pelaburan asing di Malaysia untuk industri solar PV melebihi RM10 bilion menerusi beberapa syarikat multinasional termasuk Korea, Jepun dan Amerika Syarikat, katanya.

“Kita mempunyai kepakaran dalam pembuatan komponen solar PV, tetapi kita sendiri tidak menggunakan dan memanfaatkannya. Ini merupakan satu kerugian,” katanya di sini semalam.

Beliau menjelaskan penggunaan tenaga solar dapat membantu negara mencapai matlamat pengurangan intensiti pelepasan karbon dioksida sebanyak 40 peratus menjelang 2020.

Sebagai satu daripada sumber tenaga diperbaharui yang dijana secara selamat dan mesra alam, pengeluaran tenaga elektrik daripada solar PV memerlukan modal permulaan yang tinggi, namun kos penyelenggaraannya adalah minimal.

“Ia dapat dimulakan dengan pengeluaran secara skala kecil seperti daripada bumbung rumah kita sendiri sehingga pengeluaran daripada ladang solar yang berkapasiti besar,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Photovoltaic Malaysia (MPIA) Ahmad Shadzli Abdul Wahab berkata, sumber alternatif berkenaan seharusnya tidak dilihat sebagai ancaman kepada industri tenaga konvensional sedia ada.

“Penggunaan tenaga solar tidak akan mengancam syarikat tenaga dan utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), malah akan wujud hubungan saling bergantungan antara sumber tenaga ini,” katanya.

Katanya penggunaan tenaga solar jika berjaya dikomersialkan akan membantu TNB untuk menampung permintaan pengguna terutamanya semasa waktu puncak dan secara tidak langsung kos operasinya dapat dikurangkan.

Beliau menambah sekiranya tenaga solar benar-benar dapat dimajukan di negara ini, pelan pembinaan loji nuklear dapat digantikan dengan tenaga solar yang mesra alam dan lebih selamat. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 8:03 AM