Azman (kiri) beramah mesra dengan Ketua Penyelidikan Pasaran Solar Media Limited Finlay Colville pada Persidangan Antarabangsa Solar-PV CellTech 2017, semalam.
Azman (kiri) beramah mesra dengan Ketua Penyelidikan Pasaran Solar Media Limited Finlay Colville pada Persidangan Antarabangsa Solar-PV CellTech 2017, semalam.
Shamsul Munir Safini


Georgetown: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berjaya menarik pelaburan luar bernilai lebih RM2.42 bilion dalam industri solar dan tenaga boleh diperbaharui (RE) pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata, daripada jumlah itu, RM1.77 bilion adalah pelaburan daripada tujuh syarikat luar yang berminat melabur di negara ini dalam projek penghasilan solar, manakala selebihnya membabitkan 83 projek penghasilan RE.

“Pelaburan terbesar disumbangkan pengeluar jongkong solar, sel wafer dan modul terbesar iaitu Longi yang berpangkalan di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya, Sarawak dengan nilai pelaburan RM1.06 bilion.

“Pelaburan lain yang diluluskan termasuk daripada Jinko Solar dan JA Solar yang menjalankan aktiviti pembesaran dan mempelbagaikan prospek tenaga solar di negara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan PV Cell Tech 2017 di sini, semalam.

Beliau berkata, kerajaan memperkenalkan dua dasar baru bagi meningkatkan penjanaan RE, sekali gus memastikan kapasiti tenaga solar di negara ini dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.

Menurutnya, dasar berkenaan adalah pemeteran tenaga bersih dan mekanisme solar berskala besar yang akan mempercepatkan proses mencapai sasaran RE kepada 2,080 megawatt (MW), antara lain muncul sebagai inisiatif penyumbang kepada pertambahan 1,500 MW RE pada 2020.

“Malaysia kini menghasilkan 463 MW tenaga solar dan menyasarkan dapat menghasilkan jumlah sasaran menjelang 2020.

“MIDA positif dengan prospek pelaburan tenaga solar, selain bersedia menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran tenaga alternatif itu,” katanya.

Katanya, ia susulan permintaan bagi tenaga solar yang mencatatkan peningkatan selari dengan dasar kerajaan di seluruh dunia yang menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, pasaran photovoltaic (PV) dunia dijangka berkembang antara 12 hingga 20 peratus membabitkan keseluruhan segmen rantaian PV sepanjang lima tahun ini.

“Malaysia kini muncul sebagai negara pengeluar ketiga dunia bagi sel dan modul PV selepas China dan Taiwan, selain memiliki tapak pembuatan filem nipis terbesar dengan menjadi pengeksport utama panel solar ke Amerika Syarikat.

“Malah, pengeluaran tenaga solar di rantau Asia dijangka meningkat melebihi 37 gigawatt (GW) bagi kapasiti PV antara 2014 hingga 2018,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2017 @ 5:18 AM