AZMIR (dua dari kiri) menurunkan tandatangan sambil diperhatikan Baharin (kiri) dan Pengarah Urusan GSPARX Sdn Bhd, Elmie Fairul Mashuri.
AZMIR (dua dari kiri) menurunkan tandatangan sambil diperhatikan Baharin (kiri) dan Pengarah Urusan GSPARX Sdn Bhd, Elmie Fairul Mashuri.
Nurul Husna Mahmud

Petaling Jaya: McDonald's Malaysia menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) bagi mengukuhkan komitmen mereka terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian tenaga.

Menerusi kerjasama strategik itu, 100 restoran Pandu-Lalu McDonald's di seluruh negara dijangka terbabit dengan projek pemasangan bumbung fotovoltaik solar (PV) secara berperingkat, dengan jangkaan siap pada Disember 2024.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, kerjasama strategik terbabit menunjukkan inisiatif McDonald's Malaysia menyokong komitmen McDonald's Global mencapai sifar karbon dalam segenap operasinya di peringkat global menjelang 2050.

"Sejak Jun 2022, McDonald's telah memulakan fasa awal dengan kerjasama TNB, membabitkan pemasangan bumbung solar PV di 39 restoran McDonald's terpilih menerusi GSPARX. Pemasangan itu membabitkan kapasiti keseluruhan 1216.18kWp.

"Kerjasama yang terjalin dengan TNB dan GSPARX sangat bermakna bagi McDonald's Malaysia melaksanakan penyelesaian hijau yang mampu mengurangkan penggunaan elektrik dan pengeluaran karbon," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan inisiatif tenaga lestari itu menerusi GSPARX iaitu pihak bertanggungjawab membina, memasang, mengoperasi dan menyelenggara kemudahan solar PV dengan saiz sistem 2.5MWp untuk 100 restoran dijangka membantu McDonald's Malaysia mengurangkan kos penggunaan elektrik sebanyak RM7 juta untuk kesemua restoran terbabit.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Baharin Din berkata, usaha rangkaian restoran makanan segera ternama itu boleh memberi inspirasi terhadap pihak lain untuk menurut jejak langkah mereka dalam penggunaan tenaga lestari dan mesra terhadap alam sekitar.

"Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan McDonald's Malaysia dan menyumbang kepakaran kami dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

"Kerjasama ini mengetengahkan komitmen TNB menyokong syarikat terkemuka seperti McDonald's ke arah mengurangkan penggunaan karbon dalam operasi mereka.

"Kami percaya kerjasama ini mampu mewujudkan pertumbuhan perniagaan yang signifikan untuk kedua-dua organisasi, pada masa sama mempercepatkan usaha ke arah peralihan tenaga menerusi penggunaan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Selain menandatangani SARE, McDonald's turut bekerjasama dengan GSPARX untuk pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di restoran McDonald's terpilih dalam usaha menggalakkan penggunaan penyelesaian tenaga bersih dan menyokong mobiliti elektrik di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 7:01 AM