PENGGUNAAN solar hanya di industri berskala besar.
PENGGUNAAN solar hanya di industri berskala besar.
MANFAAT solar untuk kesejahteraan.
MANFAAT solar untuk kesejahteraan.
CAHAYA matahari mencukupi.
CAHAYA matahari mencukupi.
BANGUNAN komersial mula pasang solar.
BANGUNAN komersial mula pasang solar.
Afiq Hanif


Pembangunan rancak bukan saja boleh memudahkan kehidupan, namun kalau anda sendiri sebagai pembangun atau pengguna tidak melihat perspektif mesra alam melaluinya, ia seakan-akan menggadai dunia kepada kehancuran.

Pemanasan global dikaitkan dengan kesan rumah hijau yang merujuk kepada bangunan kelihatan seperti rumah kaca kecil yang digunakan untuk menanam tumbuhan yang tidak dapat tumbuh secara semula jadi disebabkan cuaca tidak sesuai.

Catatan suhu permukaan dunia membuktikan pada 1856, suhu dunia sudah meningkat 0.6 darjah Celsius.

Sesetengah pengkaji berpendapat, faktor antropogenik atau kemanusiaan lebih ketara sejak 50 tahun lalu disebabkan kesan rumah hijau yang sekali gus meningkatkan karbon dioksida menerusi kegiatan manusia dalam pelbagai sektor pembangunan termasuk pembinaan bangunan, jalan raya, kewujudan penempatan baru, kawasan rekreasi dan lapangan terbang.

Dalam tempoh 100 tahun akan datang, catatan suhu 0.6 darjah Celsius terbabit akan meningkat sekitar 1.0 hingga 3.0 darjah Celsius.

Malah, pengkaji membuat ramalan suhu akan terus meningkat pada kadar antara 1.4 darjah Celsius hingga 5.8 darjah Celsius dari 1990 hingga 2100. Sejak 1,000 hingga 2,000 tahun lalu, suhu permukaan bumi dikatakan relatif stabil.

Teknologi seperti peningkatan jumlah kenderaan, kemunculan kilang dengan banyak, peningkatan taraf hidup yang terlalu bergantung kepada penggunaan peti ais, penyaman udara dan keghairahan menerangi ruang rumah adalah faktor paling dekat mengakibatkan masalah itu berlaku.

Dari aspek pengguna, anda perlulah menjimatkan tenaga elektrik dengan mengamalkan langkah seperti menggunakan perkakasan elektrik yang cekap tenaga kerana menggunakan tenaga sedikit selain menutup suis lampu, kipas dan sebagainya yang tidak digunakan.

Di samping itu, pengguna perlu mengeluarkan palam daripada soket utama kerana jika ia masih melekat pada soket utama, tenaga elektrik tetap mengalir.

Tidak dilupakan, jangan meletakkan komputer atau apa-apa perkakasan elektrik dalam keadaan mod ‘standby’ dan jangan terlalu kerap membuka pintu peti sejuk yang menjana tenaga secara berterusan jika ia berlaku.

Lebih baik kalau pengguna memasang lampu berasaskan LED yang boleh menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Penduduk di Malaysia disaran menanam sekurang-kurangnya dua batang pokok di halaman rumah masing-masing sebagai kempen pemuliharaan alam sekitar yang bersih dan hijau di samping pokok lain sedia ada.

Ia perlu disemai ketika mereka masih kecil. Pendidikan alam sekitar perlu ditingkatkan terutama di peringkat sekolah menengah bagi memupuk kesedaran, kefahaman dan rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar menyambung ekosistem teknologi sedia ada.

Dari aspek industri, penggunaan tenaga baru perlu dalam mencari penyelesaian kepada masalah peningkatan elektrik di negara ini yang dijana tenaga bukan gas atau arang batu perlu diteroka.

Namun sedihnya, tenaga baru seperti solar masih kurang sambutan dan tidak digunakan secara menyeluruh.

Laman web Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA) dalam laman web mereka di bawah seksyen Tenaga sendiri menyebut penggunaan tenaga solar di negara kita amat terhad.

Ia berkata, penggunaan solar utama adalah sistem pemanasan air bersolar di hotel, industri kecil makanan dan minuman serta di rumah golongan kelas pertengahan atas.

Dianggarkan tidak kurang daripada 10,000 unit sistem air panas domestik dipasang setakat ini.

Satu pertiga daripada jumlah peruntukan kerajaan yang bernilai RM469 juta bagi program pengelektrikan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh diperuntukkan bagi tujuan pemasangan kuasa solar untuk kegunaan penduduk di kawasan luar bandar mahupun pedalaman.

Misalnya. projek yang diberi nama ‘100kWp Demonstration Photovoltaic Project’ dilaksanakan atas inisiatif Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (ketika itu) dengan Kerajaan Jepun yang diwakili oleh NEDA di Marak, Sabah.

Projek ini sudah pun siap pada tahun 1995 dan menjadi permulaan bagi pemindahan teknologi yang lebih cekap dan berkesan dalam aspek penjanaan kuasa solar fotovoltaik (PV).

TNB Research Sdn Bhd sedang menjalankan sebuah projek penyelidikan mengenai ‘Photovoltaic Grid Connected Roof Solar 3kW’ manakala Persatuan Pencinta Alam Malaysia pula datang dengan projek demonstrasi ‘Hybrid Diesel Solar PV’.

Pengumuman PV seharusnya menjadi fokus Malaysia dalam teknologi baru. Tahun lalu, saja kerajaan mensasarkan untuk berada pada kedudukan ketiga mampu menjadi negara pengeluar PV kedua terbesar di dunia menjelang 2020.

Pengeluaran PV negara ketika ini adalah 12 peratus dan sasarannya mencapai 20 peratus dalam tempoh empat tahun lagi.

Penyelidikan pasaran pada 2015 menunjukkan jumlah penghantaran global solar PV berjumlah 50.8 gigawatt.

Secara keseluruhannya, dalam pasaran pengeluaran PV, China menyumbang 48 peratus, Taiwan 20 peratus, Malaysia 12 peratus dan Jepun enam peratus.

Ia menunjukkan betapa keperluan PV sebagai sumber tenaga baru yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya namun ia bukan perkara baru dibincangkan.

Penggunaannya yang hanya di peringkat industri besar perlu diperluaskan kepada pengguna biasa.

Maksudnya, rumah kita sendiri seharusnya sudah mempunyai sistem PV bagi menjana elektrik sekurang-kurangnya cukup untuk memanaskan air, mengecas atau memasang kipas dan lampu.

Namun hingga kini, pemasangan PV boleh dikatakan hanya untuk orang ada-ada. Kosnya masih mahal.

Pembinaan kawasan perumahan baru pun tidak mengambil berat pemasangan PV dan masih kekal hanya memasang soket elektrik tradisional.

Kalau mahu, pasang sendirilah!

Inilah yang mengecewakan penulis. Sudah agak lama dalam industri hanya melihat pengumuman demi pengumuman namun belum nampak sasarannya ke pengguna asas seperti kita.

Bagi penulis, sistem tenaga solar perlu menjadi pilihan untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga dan mengelakkan pemanasan global menjadi serius, namun banyak usaha perlu dilakukan dalam usaha menyediakan tenaga solar yang benar-benar mantap.

Kita perlu melihat apa lagi yang perlu dilakukan serta menyemak semula kajian dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) sama ada industri atau universiti mengenai solar di negara ini.

Adakah ia tidak mencukupi? Kalau tidak mencukupi masakan kita boleh menyasarkan untuk pengeluar PV kedua terbesar di dunia dalam masa tiga tahun ini.

Kalau ia mencukupi, setiap rumah perlu mempunyai sistem solar sendiri sekarang, sesuatu yang mungkin agak ‘alien’ bagi setiap isi rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 3:14 AM