BERNAMA

Labuan: Kematian seorang wanita minggu lalu, yang mulanya diputuskan sebagai kematian mengejut sekarang diklasifikasikan sebagai pembunuhan berikutan hasil autopsi.

Mayat reput wanita itu dijumpai orang awam yang berjoging di kaki bukit dekat Kampung Sungai Lada, 12 September lalu.

Ketua Polis Labuan Superintendan Adzhar Othman berkata, autopsi menunjukkan wanita itu, pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sebuah pusat hiburan adalah mangsa serangan fizikal.

Beliau berkata, pembunuhan wanita itu mungkin disebabkan cemburu.

"Bedah siasat pada 15 September oleh Jabatan Patologi dan Forensik Hospital Queen Elizabeth menemui keretakan dan kesan tetakan pada tengkorak kepala, dagu dan pergelangan tangan wanita itu, dipercayai dipukuldengan benda tajam dan keras. Tulang dagu si mati juga tiada," katanya di sini, hari ini.

Adzhar berkata autopsi menunjukkan wanita itu mati dua hingga empat minggu sebelum mayatnya dijumpai.

"Kami sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum membuat penangkapan," kata beliau.

Adzhar, ketua unit forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah pada 15 September lalu, melawat ke tempat kejadian dan menjumpai sepasang subang serta helaian rambut.

"Satu keluarga dari Filipina mendakwa mangsa ialah saudara mereka tetapi kami masih berhubung dengan Konsulat Filipina di sini untuk mengesahkan identiti mangsa, dan ujian DNA akan dijalankan," kata Adzhar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:21 PM