ADZHAR menunjukkan paras air yang naik di dalam rumah ibunya di Kampung Ismail, di sini, awal pagi semalam. FOTO Ahmad Hasbi.
ADZHAR menunjukkan paras air yang naik di dalam rumah ibunya di Kampung Ismail, di sini, awal pagi semalam. FOTO Ahmad Hasbi.
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang wanita warga emas menceritakan pengalamannya menghadapi detik cemas meredah banjir paras leher di halaman rumahnya di Kampung Ismail, Ampangan, di sini, untuk menyelamatkan diri, awal pagi semalam.

Kejadian berkenaan menyebabkan kira-kira 130 rumah di kampung berkenaan dipenuhi lumpur setebal 0.1 meter dan tinjauan wartawan mendapati penduduk sibuk membersihkan rumah masing-masing sejak pagi.

Rohaini Abdullah, 76, berkata, ketika kejadian dia hanya berdua bersama anak lelakinya di rumah sebelum air beserta lumpur tidak henti-henti masuk ke rumahnya sehingga mencecah 0.4 meter.

"Saya dan seorang anak sedang berjaga-jaga dan memerhatikan paras air di pintu hadapan rumah. Pada awalnya air mulai surut, namun kira-kira jam 1 pagi air berserta lumpur naik mendadak.

"Air menghentam pintu masuk rumah sebelum saya menyelamatkan dokumen penting dan meletakkan di tempat tinggi. Bimbang dengan keadaan air yang semakin naik, saya mengharungi air paras leher sejauh kira-kira 50 meter sebelum diselamatkan," katanya.

Adzhar Abu Bakar, 55, berkata, dia sempat mendukung ibunya yang berusia 80 tahun dan uzur untuk keluar dari rumah orang tuanya itu di kampung berkenaan.

Dia berkata, kerja untuk membersihkan rumah ibunya itu memakan masa kerana air bertakung di ruang tingkat bawah selain lumpur yang melekat pada struktur dan halaman rumah.

"Ibu tinggal sendirian di rumahnya sebelum dia menghubungi saya memaklumkan air mulai naik lalu saya bergegas ke rumahnya dan membawanya keluar.

"Kawasan rumah ibu saya berada di tempat rendah menyebabkan air naik setinggi 0.8 meter di bahagian bawah rumah. Banjir kali ini agak teruk, malah ia berserta lumpur yang menyukarkan kami untuk membersihkan kediaman masing-masing.

"Banyak barang seperti peralatan elektrik dan perabot terpaksa dibuang kerana rosak. Dianggarkan kerugian yang dialami lebih RM5,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 10:23 AM