Kereta mangsa remuk teruk selepas merempuh pokok di Jalan Bukit Timbalai. FOTO ihsan polis
Kereta mangsa remuk teruk selepas merempuh pokok di Jalan Bukit Timbalai. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


Labuan: Seorang penuntut perubatan di sebuah universiti di Russia maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Bukit Timbalai, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.40 tengah malam itu, Joshua Shak Gin Vui, 25, yang memandu Nissan Skyline disahkan meninggal dunia di Hospital Nukleus, di sini, akibat parah di kepala dan badan.

Difahamkan, mangsa sedang bercuti dan pulang ke kampung halamannya di Labuan sempena Tahun Baru Cina.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Adzhar Othman berkata, siasatan awal mendapati Nissan Skyline dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kampung Sungai Miri menuju ke bandar.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu terbabas selepas melalui satu selekoh sebelum melanggar pokok.

"Mangsa yang tersepit dikeluarkan anggota bomba sebelum dibawa ke Hospital Nukleus untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Adzhar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 4:08 PM