Junaidi Ladjana


Labuan: Polis Labuan masih siasat kesahihan cubaan culik murid tahun tiga di luar Sekolah Kebangsaan ST Anne, di sini, yang viral di laman sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, berkata tiada laporan polis dibuat ibu bapa atau Jabatan Pendidikan Wilayah Labuan berkaitan cubaan culik murid perempuan itu.

“Laporan polis berdasarkan maklumat pertama oleh pegawai polis bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan yang kemudian bertindak melakukan siasatan awal.

“Isu seumpama ini yang belum pasti kesahihannya apabila menjadi viral boleh gugat ketenteraman awam dan membuatkan ibu bapa menjadi resah," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, kejadian dikatakan berlaku pada kira-kira 5 petang, kelmarin, ketika murid itu sedang menunggu ibunya untuk balik ke rumah.

"Ketika menunggu bersendirian, murid itu melihat van putih bercermin gelap.

“Van itu dikatakan berhenti tidak jauh dari tempat murid itu. Dia kemudian mendakwa lelaki daripada van itu menegur dan bertanyakan namanya sambil menawarkan gula-gula.

“Murid itu mendakwa tidak mengendahkannya. Lelaki itu kemudian dikatakan cuba keluar daripada van itu.

“Murid itu yang ketakutan dan cemas kemudiannya melarikan diri masuk semula ke sekolah.

“Dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pengawal keselamatan sebelum memaklumkan kepada guru besar," katanya.

Adzhar berkata, guru besar itu kemudian melaporkan kejadian kepada pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Labuan.

Katanya, pegawai itu kemudian hadir ke Balai Polis Labuan, semalam, untuk memaklumkan secara lisan kejadian yang didakwa oleh murid berkenaan.

“Maklumat awal mendedahkan ada tiga lelaki di dalam van itu. Murid itu mendakwa boleh kenal seorang daripada mereka. Namun, murid itu juga tidak begitu pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 1:15 PM