BERNAMA

Labuan: Polis Labuan percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan kejam membabitkan wanita pelayan pelanggan (GRO) sebuah pusat hiburan pada pertengahan Ogos lalu, dengan penahanan tiga lelaki minggu lalu,

Wanita itu, Nerisa Linawang Abelilla, 25, dibunuh antara 10 malam 15 Ogos dan 2.20 pagi 16 Ogos selepas dikatakan enggan melakukan hubungan seks dengan salah seorang suspek.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Adzhar Othman berkata, suspek pertama berusia 22 tahun yang juga warga Filipina, ditahan di rumahnya di Simpang Dedap, Kampung Sungai Bedaun pada 6 petang 21 September lalu.

Susulan tangkapan itu, suspek kedua dan ketiga, masing-masing berusia 32 dan 22, ditahan dua hari kemudian di tapak pembinaan Taman Sea View, Kampung Layang-Layangan dan Kampung Saguking.

“Ini menjadikan jumlah tangkapan kes ini seramai enam orang termasuk seorang wanita. Namun tiga daripadanya termasuk wanita itu sudah dibebaskan. Kami harap dapat menyelesaikan kes ini," katanya kepada media hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipukul dengan kayu dan batang paip sehingga menyebabkan kematiannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 5:17 PM