Kereta Mercedes yang yang remuk akibat merempuh tiang elektrik.
Kereta Mercedes yang yang remuk akibat merempuh tiang elektrik.
Farah Suhaidah Othman


Bagan Datoh: Anak lelaki Raja Gelek Malaysia Datuk M Daud Kilau terselamat dalam kemalangan selepas kereta milik bapanya yang dipandu, hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 4 Jalan Bagan Datoh - Sungai Tiang, Bagan Datoh, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa berusia 45 tahun yang juga anak kedua M Daud Kilau, tidak cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata siasatan kemalangan mendapati pemandu kereta Mercedes Benz berwarna merah berkenaan dari arah Bagan Datoh ke arah Kampung Sungai Balai di sini, dipercayai bergesel dengan motosikal sebelum terbabas.

"Siasatan lanjut mendapati pemandu kereta itu cuai dan tindakan saman dikenakan terhadapnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan penunggang motosikal lelaki berusia 46 tahun cedera ringan di kaki dan dirawat di klinik Bagan Datoh sebagai pesakit luar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 7:13 PM