M Daud Kilau bersama isterinya, Datin Rohani Awang Ngah. FOTO Ravale Savarinathan
M Daud Kilau bersama isterinya, Datin Rohani Awang Ngah. FOTO Ravale Savarinathan
Oleh Ravale Savarinathan


Teluk Intan : Raja Gelek Malaysia, Datuk Muhammad Daud Kilau atau lebih dikenali M Daud Kilau yang terlantar sakit di Hospital Teluk Intan sejak Ahad lalu selepas mengalami komplikasi membuang air kencing kini beransur pulih.

M Daud Kilau, 77, yang popular dengan lagu Cek Mek Molek berasal dari Kampung Sungai Balai, Bagan Datoh mula menunjukkan reaksi positif dan tidak sabar mahu bertemu peminatnya.

"Saya meminta kepada semua rakyat Malaysia, peminat-peminat dan juga rakan-rakan seangkatan saya di seluruh negara mendoakan kesihatan saya.

"Saya yakin dan percaya boleh menghiburkan peminat-peminat saya yang ada di seluruh negara.

“Saya diberi layanan yang terbaik oleh pihak Hospital Teluk Intan. Saya tidak mahu mengalah selagi kudrat saya ada untuk menghiburkan peminat," kata Daud Kilau yang mencipta album terakhir berjudul Laksamana Raja Di Laut pada 2012 ketika ditemui di HTI, hari ini.

Anak lelaki beliau, Ahmad Zaini, 44, yang turut berada di sisi ayahnya berkata, ayahnya dimasukkan ke wad selepas mengadu sukar untuk membuang air kencing dan turut mengalami penyakit kencing manis serta masalah buah pinggang.

"Selepas ayah mengadu sakit kami membawanya ke HTI untuk rawatan sebelum dimasukkan ke wad untuk membolehkan pemeriksaan rapi.

"Sebenarnya ayah tidak mahu dimasukkan ke wad untuk rawatan kerana sudah berjanji bertemu peminat pada Konsert Fiesta Bagan Datoh Ahad lalu. Kami sekeluarga tahu ayah sangat kecewa kerana tidak dapat membuat persembahan di fiesta berkenaan namun dia tetap akur dan mendengar nasihat kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 4:21 PM