ALLAHYARHAM Datuk M Daud Kilau. FOTO Ihsan FB Bagan Datuk Kini.
ALLAHYARHAM Datuk M Daud Kilau. FOTO Ihsan FB Bagan Datuk Kini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bintang lagenda, Datuk M Daud Kilau yang meninggal dunia di Hospital Teluk Intan hari ini.

"Innalillahi wainna ilaihi raji'un. Satu lagi berita sedih hari ini. Salam takziah buat keluarga Datuk M Daud Kilau, penyanyi tersohor, yang telah meninggal dunia sebentar tadi.

Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah," katanya dalam hantaran di Facebook.

Pemergian M Daud Kilau, 85, pada kira-kira 4.40 petang tadi disahkan oleh cucu Allahyarham, Hasnor Ikram melalui laman sosial Instagram.

Raja Gelek Malaysia itu sebelum ini berdepan masalah kesihatan seperti penyakit kencing manis, tidak boleh berdiri lama, kebas kaki dan tangan serta pinggang selain keadaan jantung yang tidak stabil serta kurang pendengaran.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balah Baroh, Bagan Datuk selepas Zuhur esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 7:44 PM