BERGSON Da Silva (kiri) menjaringkan dua gol ketika JDT menewaskan Negeri Sembilan FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Sabtu lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
BERGSON Da Silva (kiri) menjaringkan dua gol ketika JDT menewaskan Negeri Sembilan FC 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, Sabtu lalu. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super kali kesembilan berturut-turut, penyerang prolifik, Bergson da Silva menuntut rakan sepasukan mengekalkan momentum kemenangan dalam baki empat perlawanan liga.

Penyerang kelahiran Brazil yang sudah mengumpul 24 gol itu mengimpikan kemenangan buat JDT apabila berdepan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi liga di Stadium Darul Aman, malam esok.

Bergson mahu mengambil sikap berwaspada pada aksi menentang skuad kendalian Aidil Shahril Sahak dan KDA FC agak liat dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri, walaupun tewas 0-1 kepada Petaling Jaya City FC (PJ City FC), Sabtu lalu.

"Setiap kali menentang Kedah, ia pastinya sukar dan saya akui pasukan itu dibarisi pemain hebat dan kami tidak boleh bersikap sambil lewa walaupun muncul juara liga.

"Kami mahu berusaha mengekalkan rekod tanpa kalah sehingga tamat saingan liga dan kekalkan momentum kemenangan kerana ada baki empat aksi lagi.

"Kami tidak boleh selesa dengan gelaran juara liga kerana selagi saingan tidak berakhir, kami akan terus memburu kemenangan.

"Saya tidak memikirkan mengenai kedudukan sebagai penjaring terbanyak kerana keutamaan adalah membantu JDT mencipta kemenangan," katanya.

Ditanya mengenai perbezaan di bawah kendalian bekas jurulatih, Benjamin Mora dan kini Hector Bidoglio, bekas pemain Fortaleza itu enggan mengulas mengenai kredibiliti kedua-dua jurulatih JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 12:22 PM