AIDIL Zafuan (kiri) kemudi benteng Harimau Selatan.
AIDIL Zafuan (kiri) kemudi benteng Harimau Selatan.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Ulisses Morais tidak gusar kehilangan Marcos Antonio apabila menyifatkan ketiadaan pemain itu bukan masalah besar baginya bagi mengharungi baki Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

Morais berkata, Antonio terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan dan kini beliau terpaksa mempertaruhkan Mohd Fadhli Shas, Junior Eldstal dan Aidil Zafuan Abd Radzak untuk mengemudi benteng Johor DT.

Setakat ini, pengendali dari Portugal itu berpuas hati dengan komitmen ketiga-tiga pemain berkenaan yang berjaya membentuk persefahaman baik ketika menentang Sarawak, Sabtu lalu dan Terengganu, kelmarin.

“Prestasi ditunjukkan ketiga-tiga pemain itu membuatkan saya optimis tidak berdepan masalah mencari kombinasi terbaik sebagai persiapan aksi seterusnya,” katanya.

Sementara itu, kekalahan kepada Johor DT mengejutkan pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim.

Beliau berkata, walaupun Terengganu dibarisi pemain simpanan, tidak wajar mereka tewas dengan gol banyak dan sepatutnya pemain mampu memberi tentangan dan cuba menyekat setiap asakan Johor DT.

“Agak mengejutkan juga apabila tewas dengan jaringan besar. Kami tidak sepatutnya memberi ruang kepada Johor DT menjaringkan gol, malah pemain saya bagaikan tidak berusaha menyekat serangan lawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 10:16 AM