GOMEZ (tengah) ingatkan anak buah pamer watak juara.
GOMEZ (tengah) ingatkan anak buah pamer watak juara.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Hanya 90 minit yang memisahkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dengan gelaran juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut dan pengendali Mario Gomez pantas menuntut anak buahnya untuk turun dengan imej sang juara.

Pertemuan Johor DT-Terengganu di Stadium Larkin, malam ini dianggap sebagai peluang terbaik Harimau Selatan untuk meraikan kejuaraan lebih awal dan tidak perlu menunggu hingga tamat saingan liga.

Beliau menegaskan tiga mata di laman sendiri amat penting dan setiap pemain Harimau Selatan harus mempamer aksi terbaik namun harus berwaspada dengan ancaman skuad kendalian Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor itu.

“Ada rombakan kecil yang terpaksa dilakukan di posisi tengah untuk pertemuan menentang Terengganu kerana Hariss Harun tidak dapat diturunkan selepas digantung dua perlawanan kerana mengumpul enam kad kuning.

“Besar kemungkinan Amirul Hadi Zainal akan beraksi di posisi tengah untuk bersama Safiq Rahim dan saya optimis kedua-dua pemain itu mampu membentuk gandingan mantap bagi mengimbangi kekuatan bahagian tengah Terengganu.

“Saya juga tidak dapat menurunkan Mohd Azinee Taib memandang dia belum pulih akibat kecederaan ketika aksi menentang FELDA United, 24 Ogos lalu dan kemungkinan Amri Yahyah bakal beraksi di posisi sayap kiri namun saya juga sedang memikirkan Nazrin Nawi yang turut mampu bermain di posisi itu.

“Amri mungkin beraksi pada babak pertama. Itu belum diputuskan kerana dia baru saja pulang dari tugasan bersama skuad kebangsaan. Tengok keadaan dan saya akan buat keputusan sebelum perlawanan itu sama ada Amri atau Nazrin yang bakal bermain,” katanya.

Gomez juga percaya kemenangan ke atas Terengganu amat penting untuk melonjakkan keyakinan sebagai persediaan mengharungi saingan suku akhir pertama Piala AFC berdepan South China FC di Stadium Mongkok, 13 September ini.

Beliau menambah, gandingan Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero akan menjadi taruhan terbaik mengemudi jentera serangan dan benteng pertahanan akan diperkukuhkan kombinasi Aidil Zafuan Abd Radzak dan Marcos Antonio sambil Muhd Fazly Mazlan dan S Kunanlan bermain di posisi bek kiri dan kanan.

“Tiada perubahan ketara di posisi lain sebaliknya pemain perlu mengawasi pergerakan lawan yang mantap malah kelibat Issey Nakajima Farran cukup berbahaya dan dia harus diawasi.

“Pemain perlu tenang apabila beraksi dan memberi sepenuh tumpuan selain mengelak daripada melakukan kesilapan mudah malah kelebihan beraksi di laman sendiri perlu digunakan sepenuhnya,” kata Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 9:06 AM