PEMAIN Johor DT meraikan kejayaan menewaskan FELDA United.
PEMAIN Johor DT meraikan kejayaan menewaskan FELDA United.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun Johor Darul Ta’zim (Johor DT) semakin hampir menggapai kejuaraan hatrik Liga Super, pengendali Mario Gomez (gambar) tidak mahu terlalu awal mendabik dada sebaliknya masih ada satu lagi aksi penting yang perlu diharungi.

Pengendali dari Argentina itu berkata, kemenangan 3-2 ke atas FELDA United, kelmarin, membuka laluan untuk Harimau Selatan bakal melakar sejarah pada saingan Liga Malaysia untuk muncul satu-satunya pasukan menjuarai liga tiga musim berturut-turut.

Sebelum ini, dua pasukan mencipta kejuaraan dua musim berturut-turut iaitu Selangor pada musim 2009 dan 2010 manakala Kelantan pada musim 2011 dan 2012 dan kini Johor DT semakin hampir mencipta sejarah untuk melakar hatrik.

Namun pertembungan menentang Terengganu di Stadium Larkin, 9 September ini bakal menjadi penentu sebenar sama ada Johor DT mampu menjulang kejuaraan liga lebih awal seandainya melakar kemenangan pada perlawanan yang dianggap ‘final’ itu.

“Ada baki 90 minit lagi perlawanan yang kami perlu harungi. Ia amat penting untuk memburu tiga mata bagi merealisasikan impian meraih kejuaraan liga tiga musim berturut-turut dan saya harus membuat persiapan lebih rapi.

“Kemenangan ke atas FELDA United amat membanggakan selepas pemain Johor DT yang diturunkan beraksi konsisten walaupun berdepan kesukaran apabila ditentang hebat malah pemain mempamerkan kesungguhan apabila menjaringkan dua gol pada 35 minit babak pertama tetapi akibat kesilapan mudah kita dihukum dengan gol FELDA United yang bangkit menyamakan jaringan sebelum berakhir babak pertama.

“Saya terpaksa membuat rombakan pada awal babak pertama selepas Mohd Azinee Taib mengalami kecederaan dan tidak dapat meneruskan perlawanan dan kelibat Mohd Amri Yahyah yang masuk berjaya membentuk serangan mantap apabila sering mencemaskan benteng FELDA United,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 5:12 AM