ADIK beradik Yaya tidak ketinggalan memeriahkan pernikahan saudara mereka.
ADIK beradik Yaya tidak ketinggalan memeriahkan pernikahan saudara mereka.
Oleh Norhayati Nordin

Saling miliki minat sama terhadap seni menjadi pengikat kasih antara pelakon Wan Raja dengan pasangannya, Yaya Maembong. Pasangan sejoli itu kini sah bergelar suami isteri.

Diijabkabul dalam majlis sederhana pada petang Jumaat lalu, termaktub juga Wan Raja kini adalah abang ipar kepada dua pelakon remaja terkenal, Emma dan Chacha Maembong.

Mengakui dia jatuh cinta dengan isterinya, Yaya atau nama sebenar Rabbiati Adawiyyah Ismail, 38, berpaksikan keserasian mereka pada minat sama, Wan Raja mengakui Yaya amat istimewa dalam hidupnya.

"Saya suka dan tertarik padanya kerana dirinya sebagai Yaya dan bukan salah seorang wanita dalam keluarga Maembong yang popular serta dikenali ramai.

"Terus-terang, saya tidak cuba mendekati Yaya dan serius dengannya kerana mengetahui dia seorang daripada ahli keluarga Maembong. Saya terpikat dengan Yaya kerana keperibadiannya.

"Apatah lagi, hubungan kami bermula sebagai kawan selepas sama-sama dipertemukan dalam drama Diari Merah Jambu pada 2012. Saya selesa dengannya.

"Ketika mula-mula kami berkenalan pun, saya tidak tahu dia anak gadis kepada pelukis terkenal negara, Ismail Embong. Saya hanya kenal dia sebagai dirinya saja," katanya.

Wan Raja atau nama sebenarnya, Saiful Redzuan Abu Bakar, 37, berkata, jarak usia mereka yang tidak jauh beza juga membuatkan dia menyenangi sikap isteri tersayang.

"Apapun, yang pasti minat seni pada diri kami berdua amat mendalam. Bahkan, kebanyakan cita rasa kami pun hampir sama seperti seni fotografi, aktiviti lasak dan banyak lagi.

"Jadi, secara tidak langsung ia membuatkan saya tertarik untuk mengenal diri Yaya lebih rapat dan syukur kini kami sudah sah menjadi suami isteri. Saya sangat gembira," katanya.

Pada malam Ahad lalu, pasangan Wan Raja dan Yaya diraikan dalam majlis resepsi penuh meriah di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil bertemakan Bangsawan. Ia tema yang amat menarik.

Umpama ceritera raja dahulu kala, sebaik pengantin perempuan selaku permaisuri diarak masuk ke dalam dewan bersama pengiring atau hulubalang, sampai di pertengahan jalan, raja pun muncul.

Berlaku seketika pergelutan yang memerlukan raja mempertahankan diri dengan bersilat untuk menyelamatkan permaisuri, nyata dilakonkan Wan Raja dengan mantap.

Ia cukup membuatkan tetamu yang hadir meraikan pasangan pe-ngantin ini teruja. Ditambah busana digayakan juga menarik dengan kuning yang menjadi warna tema.

Mengulas juga mengenai bulan madu, Wan Raja berkata memandangkan kini dia masih terikat de-ngan penggambaran drama, mereka memilih bercuti dalam negara. Ujarnya destinasi pulau menjadi pilihan.

"Saya sekarang terikat dengan penggambaran drama Teman Lelaki Upahan untuk slot Akasia di TV3. Bahkan, cuti beberapa hari diberikan ini pun hanya untuk majlis perkahwinan saja.

"Jadi, tengoklah selepas semua urusan kerja kami berdua selesai termasuk resepsi sebelah saya, baru fikir pergi bulan madu. Apapun, kalau ikutkan rancangan asal kami mahu bercuti ke Sabah. Namun keadaan nampaknya kurang sesuai," katanya.

Memaklumkan dia juga tidak akan menghalang Yaya untuk terus aktif berlakon, Wan Raja berkata, dia sentiasa menyokong minat isterinya. Kata anak jati Pulau Pinang ini, tidak adil untuknya menyekat minat seni Yaya yang aktif dalam teater.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 6:42 AM