WAN Raja menyarung cincin ke jari manis Yaya.
WAN Raja menyarung cincin ke jari manis Yaya.
Oleh Norhayati Nordin


Hulu Klang: Hanya sekali lafaz, pelakon Yaya Maembong, 38, hari ini sah menjadi isteri kepada pelakon, Saiful Redzuan Abu Bakar atau Wan Raja, 37.

Yaya atau nama sebenarnya Rabbiati Adawiyyah, kelihatan tenang sebaik sahaja akad nikah selesai dilafazkan di Masjid Al-Ridhuan, di sini, pada jam 5.30 petang tadi.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Gombak, Ustaz Kamarudin Omar.

Yaya kelihatan anggun menggayakan busana rona putih itu menerima RM300 sebagai mas kahwin.

Selain itu, Yaya turut menerima wang hantaran sebanyak RM12,121.40.

Bukan itu saja, pihak mempelai wanita menghadiahkan tujuh dulang hantaran berbalas lima daripada pengantin lelaki.

Pasangan itu bertunang pada 6 Ogos lalu selepas berkenalan selama lebih dua tahun lalu.

Detik perkenalan mereka terjadi selepas sama-sama membintangi drama Diari Merah Jambu.

Majlis resepsi Wan Raja dan Yaya akan berlangsung malam Ahad ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bertemakan Bangsawan.

Manakala majlis resepsi pihak lelaki pula diadakan di Dewan Sri Pinang, Padang Kota, Pulau Pinang.

"Alhamdulillah, saya sudah selamat bergelar isteri dan perlu bertanggungjawab membina keluarga pula.

"Saya berharap dapat menjadi isteri yang baik kepada Wan," katanya.

Bagi Wan Raja pula, dia tidak akan menghalang isterinya untuk terus bergiat aktif dalam lakonan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 7:51 PM