LEEZ dan Aepul mengikat tali pertunangan tahun lalu.
LEEZ dan Aepul mengikat tali pertunangan tahun lalu.
Oleh Norhayati Nordin

Sudah lama tidak bersua pelakon Leez Rosli, tiba-tiba saja mendapat tahu dia akan menamatkan zaman bujangnya pada malam ini bersama jejaka pilihan hati.

Bertemu jodoh dengan pasangan satu bidang, Leez akan dijabkabulkan dengan penyanyi utama kumpulan Drama Band, Aepul selepas setahun mengikat pertunangan.

Leez yang muncul dengan filem baru lakonannya Cerita Hantu Malaysia di seluruh pawagam tanah air mulai Khamis lalu arahan Pierre Andre berkata, dia tiada niat mahu menyembunyi majlis bermakna itu.

"Majlis pernikahan saya dan Aepul akan berlangsung malam ini secara sederhana. Bahkan, ia dijangka hanya dihadiri tetamu terdiri daripada keluarga, sanak saudara dan kenalan rapat.

"Lagi pun, kami hanya bernikah dulu dan majlis resepsi pula akan berlangsung pada Februari tahun depan seperti yang dirancang.

"Majlis pernikahan ini pun kami lakukan segera kerana menghormati permintaan ibu Aepul yang tidak mahu ia ditangguhkan lagi," katanya.

Leez atau nama sebenarnya Rosliza Rosli, 27, berkata, kalau ikutkan perancangan awal majlis pernikahan itu sepatutnya berlangsung Oktober lalu.

Namun, katanya, mereka terpaksa menangguhkannya kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja dan banyak urusan perlu diselesaikan dulu.

Mengulas juga perkembangannya yang dilihat agak menyepikan diri sejak kebelakangan ini, Leez berkata, dia sebenarnya masih aktif dalam bidang lakonan.

"Cuma, saya jarang bersua dengan media. Ini kerana, saya agak segan bertemu media kerana berasakan siapalah saya. Saya bukan pelakon popular dan walaupun sudah tujuh tahun menceburi industri seni, pencapaian saya biasa saja.

"Banyak yang perlu saya perbaiki untuk meningkatkan mutu lakonan menjadi lebih baik. Bahkan, saya berharap berpeluang membintangi drama yang mampu menonjolkan bakat lakonan dimiliki," katanya.

Berbicara mengenai kesediaan dirinya untuk memikul tanggungjawab sebagai isteri, Leez berkata, sekarang adalah usia sesuai untuknya dan Aepul bersatu membina keluarga.

Ujar Leez lagi, dia juga yakin rezeki akan bertambah kepada pasangan pengantin baru. Jadi, akuinya dia dan Aepul tidak pernah bimbang karier mereka akan suram selepas mendirikan rumah tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 2:48 PM