ZHANG didakwa di mahkamah.
ZHANG didakwa di mahkamah.
Agensi

Beijing: Malang seorang pencuri apabila terpaksa membuang air besar ketika merompak rumah yang memudahkan polis menjejak dan menangkapnya.

Lelaki berusia 39 tahun yang dikenali sebagai Zhang dari Henan itu memberitahu mahkamah di Beijing kelmarin yang dia tidak dapat menahan daripada membuang air besar ketika merompak rumah berkenaan.

Bagaimanapun, dia tidak pergi ke tandas, sebaliknya memilih untuk ‘melepaskan hajat’ di tepi katil tuan rumah berkenaan.

Tanpa disedari dia meninggalkan bukti jenayahnya apabila polis Beijing mengekstrak DNA daripada najis berkenaan yang menunjukkan sepadan dengan Zhang, yang mempunyai rekod jenayah dan dipenjara tiga tahun kerana mencuri pada 2008.

Susulan penemuan itu, Zhang didakwa atas 286 kes kecurian dan satu rompakan sejak empat tahun lalu.

Namun, tidak dipastikan bagaimana polis dapat mengaitkan Zhang dengan semua kes berkenaan kerana tiada bukti ditinggalkan.

Zhang berkata, dia tidak kaya menjadi penjenayah, sebaliknya wang dicuri kebanyakannya digunakan untuk membeli makanan dan pergi ke kafe Internet untuk menonton filem.

Dia yang hanya mempunyai pendidikan setakat sekolah rendah memberitahu yang dia penat bekerja dan terfikir untuk cuba mencuri.

Mahkamah menetapkan tarikh lain untuk hukumannya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:48 AM