LELAKI warga emas yang hilang ingatan masih mencari isterinya yang sudah meninggal dunia sejak dua tahun lalu. FOTO Agensi
LELAKI warga emas yang hilang ingatan masih mencari isterinya yang sudah meninggal dunia sejak dua tahun lalu. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Menyedihkan apabila tular di laman sosial kisah seorang lelaki warga emas China yang hilang ingatan berjalan sejauh 20 kilometer (km) untuk mencari isterinya, dipercayai masih hidup.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, lelaki dari Shanghai, bernama Zhang, ditemui polis ketika mencari isterinya yang sudah meninggal dunia dua tahun lalu.

Menurut xinmin.cn, Zhang hilang ingatan selepas diserang angin ahmar dan percaya isterinya tersesat dalam perjalanan pulang.

Video tular di media sosial menunjukkan Zhang berjalan di sepanjang laluan basikal dan berhenti untuk melihat sekeliling sebelum meneruskan perjalanan.

Polis tempatan yang terserempak dengan Zhang tidak dapat memahami apa yang dilakukan sehinggalah seorang pegawai membawanya kembali ke balai dan mengajukan soalan.

"Awak tinggal dengan siapa?" soal pegawai itu.

"Dengan isteri saya," jawab Zhang.

"Bukankah isteri kamu sudah meninggal? Kami mendapat rekodnya daripada fail itu," soal pegawai itu lagi.

"Tidak. Bukankah dia ada di sini tadi?," jawab Zhang.

Pegawai itu kemudian bertanya di mana Zhang fikir isterinya berada, dan lelaki itu menunjuk ke satu lokasi sambil berkata isterinya berada di sebelah.

"Saya pulang ke rumah sebelum dia," tambah Zhang.

Walaupun diberitahu isterinya sudah meninggal dunia selama dua tahun, Zhang tetap menegaskan isterinya masih hidup.

Pegawai itu mendapati Zhang yang tidak mempunyai anak merindui isterinya sejak cinta hatinya itu meninggal dunia.

Zhang kemudiannya diiringi pulang oleh pegawai itu.

Kisah itu meruntun jutaan hati netizen di China.

"Dia pasti sangat sedih dan enggan menerima hakikat isterinya sudah meninggal dunia," tulis seorang netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 3:19 PM