AMINUDDIN (tengah) menunjukkan geran bantuan kepada wakil kontinjen daerah di Kedah sempena penganjuran SUKDA.
AMINUDDIN (tengah) menunjukkan geran bantuan kepada wakil kontinjen daerah di Kedah sempena penganjuran SUKDA.

Alor Setar: Kerajaan negeri akan menganjurkan semula Sukan Kedah Darul Aman (SUKDA) tahun ini selepas terhenti sejak 13 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan negeri Datuk Aminuddin Omar berkata, SUKDA ini penting untuk pembangunan sukan negeri Kedah kerana dapat mencungkil bakat muda untuk menyertai Sukan Malaysia (SUKMA).

Menurutnya, selepas SUKMA di Sarawak baru-baru ini, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah mengorak langkah untuk mengadakan SUKDA sebagai persiapan awal SUKMA 2018 di Perak.

“SUKDA menampilkan sembilan jenis sukan yang akan dipertandingkan tahun ini dan kami menyasarkan sebanyak 217 orang termasuk pegawai dan atlet terbabit untuk setiap kontinjen membabitkan 12 daerah.

“Ia akan dipertandingkan di tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar serta Sik dan dengan penganjuran semula acara ini, dapat menyemarakkan lagi suasana sukan di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SUKDA di Wisma Darul Aman, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah MSN Kedah Mohd Rizal Mohd Radzi dan 12 wakil dari setiap daerah di negeri itu.

Aminuddin berkata, SUKDA akan bermula dengan acara bola sepak pada 25 November ini, diikuti acara sukan lain dari 9 sehingga 17 Disember ini.

“Sukan ini adalah langkah awal dalam pembangunan atlet di peringkat negeri yang mana bakat muda dapat digilap menjadi atlet yang berjaya ke peringkat lebih tinggi dan membawa nama Kedah.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:24 AM