AHMAD Shapawi bergambar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan MSN dan Tudungpeople International Sdn Bhd. FOTO Syazwan Msar
AHMAD Shapawi bergambar selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan MSN dan Tudungpeople International Sdn Bhd. FOTO Syazwan Msar
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sukan angkat berat di negara ini tidak pernah dipinggirkan apabila tetap mendapat bantuan bagi memastikan program pembangunan atlet mereka terus dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan walaupun angkat berat tidak disenaraikan sebagai sukan teras namun mereka menerima bantuan sewajarnya khusus sebagai persediaan atlet bertanding di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, isu angkat berat disenaraikan sebagai sukan teras atau sebaliknya bukan perkara utama namun perkara penting yang harus dititikberatkan adalah Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) boleh menghasilkan lebih ramai lagi atlet mampu menyinar di persada antarabangsa.

"Saya faham perasaan kecewa PABM apabila mengetahui terdapat atlet negeri masih lagi gagal dalam ujian doping sekali gus menyebabkan mereka membuat keputusan drastik baru-baru ini.

"Keputusan angkat berat sebagai sukan teras atau tidak bukanlah isu utama kerana bantuan diberikan kepada atlet terbabit membabitkan penyertaan di peringkat antarabangsa dan pembangunan.

"Malah, MSN juga sebenarnya menyalurkan bantuan kepada angkat berat melebihi daripada apa yang diterima oleh sukan teras," katanya, pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan MSN dan Tudungpeople International Sdn Bhd, di sini, sebentar tadi.

Pada majlis itu menyaksikan atlet berhijab negara akan dibekalkan dengan tudung khas sekali gus membantu mereka beraksi di lapangan tanpa sebarang masalah.

Sementara itu, Shapawi berkata, angkat berat menjadi pilihan ramai untuk dipertandingkan terutama pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang berlangsung baru-baru ini sekali gus menolak andaian bahawa dianak tirikan.

"Saya jelaskan bahawa angkat berat adalah pilihan utama yang dipilih oleh negeri untuk dipertandingkan di Sukma baru-baru ini.

"Oleh itu, usaha kita adalah mencari bakat baru dan memberi pendidikan supaya isu doping tidak lagi membelenggu angkat berat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 8:13 PM