KHAIRY (tengah) ketika sesi pelepasan Program Fit Malaysia Gelombang Kedua 2016 di Dataran Rembau.
KHAIRY (tengah) ketika sesi pelepasan Program Fit Malaysia Gelombang Kedua 2016 di Dataran Rembau.

Rembau: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar tetap berpendirian tegas untuk tidak menyebelahi mana-mana pihak berhubung kandungan dalam alat pemacu simpanan mudah alih (pendrive) yang didakwa mengandungi penyelewengan bersabit kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, isu itu berpanjangan apabila peminat bola sepak beranggapan kandungan dalam pendrive terbabit memiliki bukti seperti diperkatakan.

“Saya menerima pendrive itu daripada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan penelitian mendapati tiada bukti boleh disabitkan.

“Saya mahu bersikap telus dan menjaga kredibiliti, sehubungan itu, saya sampaikan sendiri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dikaji,” katanya selepas merasmikan Program FIT Malaysia peringkat negeri di Dataran Rembau, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Khairy mengulas saranan Tunku Ismail supaya semua individu dinyatakan dalam pendrive didakwa memiliki salah laku teknikal dalam FAM meletak jawatan.

“FAM akan mengadakan kongres pemilihan lebih awal iaitu tahun depan berbanding 2018. Ia diadakan secara demokrasi dan semua jawatan dipertandingkan.

“Difahamkan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak akan bertanding dan akan disandang individu baru,” katanya.

Menurut Khairy, ini menunjukkan berlaku transformasi dalam FAM bagi membawa skuad bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:38 PM