PAMERAN Deaf Art Expose 2014 menyatukan artis seni pekak dan bisu dari Malaysia, Korea, Vietnam dan Singapura.
PAMERAN Deaf Art Expose 2014 menyatukan artis seni pekak dan bisu dari Malaysia, Korea, Vietnam dan Singapura.
Oleh Siti Salmiah A Hamid


Lahir sebagai orang kurang upaya (OKU) bukanlah sesuatu yang harus dianggap malang kepada keluarga atau diri sendiri. Hakikatnya mereka insan istimewa yang mempunyai kebolehan di luar dugaan.

Buktinya apabila penulis berpeluang berkenalan dengan pelukis pekak dan bisu di pameran Deaf Art Expose 2014 di Midvalley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pameran Deaf Art Expose yang memasuki tahun keenam itu menampil­kan artis seni lukis pekak dan bisu dari Malaysia, Korea, Vietnam dan Singapura.

Berusia sekitar 20-an, Zulaiha Zulkapli yang berasal dari Raub, Pahang memiliki kepakaran semula jadi dalam menghasilkan karya bertemakan alam semula jadi dan ab­strak.

Bakatnya dikesan ketika berusia tujuh tahun. Justeru, bukan sesuatu yang pelik dia mempunyai pendedahan yang meluas mengenai bentuk dan teknik melukis.

"Meskipun pameran ini sudah berakhir, saya akan terus melukis kerana minat dan permintaan pelang­gan.

"RC Deaf Missions Malaysia satu-satunya platform yang membolehkan saya dikenali sebagai pelukis dan ia membolehkan orang ramai melihat karya yang dihasilkan.

"Saya turut diberi peluang mempamerkan kerja tangan di Vietnam dan Filipina yang membolehkan saya mengenali beberapa artis pekak dan bisu menerusi kerjasama ini," katanya.

Hasil karyanya menerusi medium akrilik, cat minyak dan media campuran bukan saja menarik perhatian pengunjung di pusat beli-belah itu, malah penulis sendiri terpaku dengan hasil lukisannya.

Tidak hairanlah karyanya terjual dengan begitu cepat sekali.

Berbeza dengan rakannya dari Sabah, Jekaril Jing­gom melukis kecintaan­nya terhadap hidupan liar, flora, fauna dan masyarakat yang kaya dengan adat tradisi, membolehkan kita berasa dekat dengan alam dan asal usul kita.

Jekaril turut terkenal sebagai pelukis karikatur.

Seorang lagi artis, Chia Yee Ling dari Johor turut menempa nama apabila karyanya dipamerkan di Festival Seni Johor Bahru, selain aktif dalam pertandingan seni dan merang­kul pelbagai anugerah.

"Ia adalah persembahan pertama saya dan melihat negara ini sebagai peluang untuk mengembangkan karya seni lukis.

"Sebanyak enam lukisan terbabit dibawa dari Korea. Ia adalah ekspresi alam semula jadi yang menceritakan mengenai kampung halaman, musim salji dan pergunungan," kata Ketua Persatuan Seni Pekak Sedunia (WDAA), Kim Bong Jin yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni lukis.

Dia menerima pelbagai pe­ngiktirafan dari dalam dan luar Korea seperti di Jepun dan Russia, selain memena­ngi beberapa pertandingan manakala hasil karya beliau sudah dipertontonkan dalam 300 pameran seni.

Artis seni dari Seoul, Nam Gi Yun lulusan Universiti Sehan turut menerima peng­iktirafan kerana karya beliau dipertontonkan dalam ba­nyak acara dan pameran termasuk Festival Cat Air Korea, Pameran 'Gaze at The Boundary of Forest' 2008 dan Pameran 'Ask the Wind' 2008.

Percubaan pertama Duong Ha Duy di Midval­ley membolehkan beberapa lukisan beliau daripada 12 karya terjual dalam masa yang singkat.

Menerusi medium cat minyak di atas kanvas, setiap lukisan beliau melahirkan keindahan de­ngan permainan warna, imej dari Hanoi berkaitan landskap, pergunungan, masyarakat yang memukau mata.

Artis seni pekak dan bisu seperti Mimi Ng ­Yit Ming (Singapura) dan Phan Dinh Hoa (Vietnam) turut melahirkan ­kehebatan kraftangan dan seni lukis masing-masing di Deaf Art Expose 2014.

Ia adalah objektif bagi RC Deaf Missions Malaysia menerusi pameran tahunan Deaf Art Expose sebagai tapak memperkenalkan artis pekak dan bisu yang berjiwa seni untuk meluaskan pengalaman dan dikenali dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:00 AM