PELATIH bersemangat menjalani ujian kawad.
PELATIH bersemangat menjalani ujian kawad.
PELATIH menyiapkan rak makanan dalam seksyen tali-temali dan gajet.
PELATIH menyiapkan rak makanan dalam seksyen tali-temali dan gajet.
UJIAN ikhtiar hidup.
UJIAN ikhtiar hidup.
BANTUAN penafasan antara latihan kecemasan mesti dikuasai pelatih.
BANTUAN penafasan antara latihan kecemasan mesti dikuasai pelatih.
PESERTA memberi arahan mengenai ikatan di depan rakan.
PESERTA memberi arahan mengenai ikatan di depan rakan.
Nurul Husna Mahmud

Memperkasakan generasi muda dengan pengisian kelangsungan hidup merangkumi akhlak, emosi serta jasmani adalah matlamat Kursus Kenaikan Pangkat Pegawai Waran Kadet Remaja Sekolah (KRS) Peringkat Negeri Selangor.

Mana tidaknya, 193 peserta berumur 11 hingga 16 tahun gigih melepasi setiap lapan komponen ujian ditetapkan dalam program empat hari di Kem Pusat Kokurikulum Selangor, Sungai Tekali di Hulu Langat, baru-baru ini.

Program berkenaan membabitkan pelajar daripada 25 sekolah mengambil bahagian membolehkan masing-masing diklasifikasikan pegawai waran I atau II.

Terap rasa cinta pada negara

Menurut Kem Komandan, Kyairolzamri Sariat, penubuhan awal KRS bertujuan menangani gejala sosial dalam generasi muda.

Katanya, semua aspek diambil kira agar dapat melahirkan generasi muda yang tidak saja positif malah dapat berbakti pada negara.

“Meskipun program ini bertujuan kenaikan pangkat sarjan atau staff sarjan kepada pegawai waran, kami nampak impak lebih besar iaitu jati diri pelajar itu sendiri.

“Biasanya, kadet cemerlang dan aktif dilihat mempunyai kesan positif dalam bidang akademik. Pangkalnya penubuhan KRS untuk melahirkan jati diri dalam kalangan anak muda.

“Setiap komponen mempunyai peranan penting dalam personaliti pelatih. Lapan komponen dinilai seperti Bantu Mula (first aid) membabitkan bantuan kecemasan, Ikhtiar Hidup, Alam Sekitar, Tali-Temali dan Gajet penting untuk kemahiran termasuk keusahawanan. Semuanya boleh digunakan pelatih ketika mereka memerlukan,” katanya.

Tanak nasi buluh

Bagi kadet Sekolah Menengah Convent Kajang, Syarifah Nur Salma Syed Shahir, ujian ikhtiar hidup sangat mencabar.

Katanya meskipun pernah menyertai perkhemahan dan latihan bersama rakan, namun kali ini modulnya berbeza.

“Saya tidak pernah melakukan aktiviti menanak nasi buluh dan bakar ikan. Pada ujian kali ini saya serta rakan diminta melakukan ujian berkenaan.

“Namun jurulatih dan pegawai akan membuat demonstrasi ringkas dan selebihnya terletak pada kami mengendalikannya hingga selesai,” katanya.

Nur Salma berkata, tidak wujud tekanan sebaliknya memberikan nilai tambah kepada pelajar.

“Melalui aktiviti luar seperti ini, kami belajar banyak perkara mengenai kemahiran lain selain fokus kepada akademik semata-mata.

“Perkara ini penting serta perlu pada saat kecemasan. Pendedahan awal membantu kami tidak kekok andai berdepan situasi serupa,” katanya.

Uji skil sepanjang KRS

Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Salak, Sepang, Siti Nureesya Umairah Rizalman berkata, dia gembira diberi peluang mengasah skil menerusi ujian dijalankan.

Katanya, antara ujian yang mencabar ialah ikhtiar hidup serta tali-temali dan gajet.

“Dalam tali-temali dan gajet, saya dan rakan dikehendaki membuat demonstrasi ikatan pernah kami pelajari. Saya berjaya melakukan ikatan buku sila, balak, tindih kasih, bunga kati dan manok, rasanya sungguh lega.

“Yang saya bimbang ialah ujian ikhtiar hidup kerana kedengaran mudah untuk hidupkan api tetapi kalau salah pilih kayu, akan menjadi susah,” katanya.

Pertingkat keyakinan diri

Buat pelatih Muhammad Firdaus Tazali, setiap pengisian dalam modul terbabit membantu pelatih sepertinya berasa lebih yakin selain memupuk disiplin diri.

“Setiap bahagian perlu dikuasai pelatih mempunyai pelbagai manfaat baik jasmani, emosi dan mental.

“Antara aspek diuji termasuk penilaian rohani. Kami perlu menguasai bacaan doa mahupun surah tertentu. Selain itu pengujian aspek jasmani serta mental, latihan ‘orienteering’ memerlukan kami membaca peta dan menamatkan tugasan di lapan stesen sepanjang 2.8 kilometer sangat mencabar.

“Malah elemen kepemimpinan juga diterapkan dalam ujian kawad apabila kami perlu mengeluarkan arahan tertentu serta memimpin barisan.

“Semua aspek ini penting melengkapi kami bukan saja sebagai kadet malah individu. Saya berharap dapat menyertai lebih banyak aktiviti selain mempelajari pelbagai kemahiran menerusi persatuan KRS,” kata penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Klang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:03 AM