THAHIRAH Mohd Rosli.
THAHIRAH Mohd Rosli.
THAHIRAH berkongsi kejayaan dengan rakan Askar Wataniah.
THAHIRAH berkongsi kejayaan dengan rakan Askar Wataniah.
THAHIRAH diajar membaca peta.
THAHIRAH diajar membaca peta.
CEKAL menjalani latihan lasak.
CEKAL menjalani latihan lasak.
THAHIRAH bergambar kenangan dengan rakan sepasukan.
THAHIRAH bergambar kenangan dengan rakan sepasukan.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

“Sesungguhnya pakaian seragam keramat inilah yang menjadikan saya individu yang lebih tabah, berani menghadapi cabaran, bersemangat waja dan cekal dalam menghadapi dugaan hidup.

“Saya mempunyai keyakinan diri yang lebih untuk berdepan dengan pelbagai perkara sama ada positif atau negatif kerana sudah diajar mengenai ilmu untuk terus mara dalam dunia yang semakin mencabar,” ujar Thahirah Mohd Rosli.

Kecil-kecil cili padi, semakin tunduk semakin berisi. Peribahasa ini ternyata sesuai diberikan kepada gadis manis berlesung pipit ini yang jiwa raganya sudah sebati dengan pasukan simpanan tentera darat yang disertainya sebaik saja menerima tawaran melanjutkan pengajian di Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas), Kuantan, tiga tahun lalu.

Thahirah yang berpangkat lans koperal adalah anggota sukarelawan Askar Wataniah daripada Kompeni B, Batalion Pertama, Rejimen 505 Askar Wataniah yang berpangkalan di Polisas.

“Saya akui pengalaman ketika menyertai unit beruniform Kadet Remaja Sekolah (KRS) di sekolah membawa kepada pembabitan dalam pasukan sukarelawan Askar Wataniah.

“Kedua-duanya membuka lembaran baru dalam hidup saya kerana bukan mudah menjadi Thahirah gadis kampung bertudung labuh yang lasak dan tidak peduli kritikan rakan pelajar serta pensyarah,” katanya ketika ditemui sewaktu sesi latihan tempatan di Markas Batalion 1, Kem Forever First, Taman Gelora, Kuantan, baru-baru ini.

Si manis berusia 22 tahun itu berkata, perjalanan hidupnya hari ini sebenarnya bukan hasil dorongan daripada sesiapapun tetapi bermula dari dalam dirinya sendiri.

“Saya cabar diri untuk menjadi seorang anak yang lasak dan mampu melakukan apa saja yang diamanahkan dan terbukti saya berjaya dalam setiap langkah. Saya menganggap semuanya positif, pemergian ibu mengajar saya erti hidup.

“Daripada seorang anak manja, saya berubah menjadi seorang yang kuat dan tidak mengaku kalah. Wataniah mengajar saya menjadi seorang yang kuat dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Menurutnya yang kini bertugas di bahagian kawalan mutu syarikat pengeluar makanan segera Ramly Food Processing Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor, latihan ketenteraan menjadikannya lebih bersemangat mengharungi hidup terutama apabila berjauhan daripada keluarga di Perak.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Doktor Burhanuddin, Taiping, Perak, itu berkata, pada peringkat awal selepas tamat persekolahan dia bercita-cita menjadi anggota polis tetapi disebabkan ketinggiannya tidak mencukupi, hasrat itu terpaksa dipendamkan saja.

Begitupun, rezeki untuk menyertai pasukan beruniform tetap berpihak kepadanya apabila diterima memasuki Polisas.

“Ketinggian saya kurang lapan inci dan tahu tidak akan diterima. Oleh itu, apabila dapat tawaran belajar di Polisas , ia bagaikan pucuk dicita ulam mendatang. Saya terus memilih menyertai pasukan ini.

“Terlalu banyak cabaran dan dugaan apabila saya memilih untuk bersama-sama wataniah. Saya diuji bukan saja dalam bentuk latihan fizikal dan mental tetapi terpaksa menerima tohmahan dan sindiran tajam rakan kuliah serta pensyarah setiap kali saya bertukar uniform,” katanya dengan suara berbaur kesal.

Bagaimanapun, pemegang Diploma Teknologi Makanan itu tidak peduli kata-kata sinis dilontarkan kerana kecintaannya terhadap dunia ketenteraan.

“Bagi saya semua yang dikatakan mereka tidak menjejaskan prestasi saya, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus serius dalam pasukan itu.

“Hasil sindiran selama tiga tahun itu, saya memperoleh pelbagai anugerah sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum,” katanya.

Thahirah adalah penerima Anugerah Pengarah Politeknik sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Polisas iaitu anugerah tertinggi diberikan kepada graduan yang cemerlang akademik dan kegiatan kokurikulum sepanjang tempoh pengajian.

“Alhamdulillah dan terima kasih kepada Polisas yang melihat potensi diri saya dalam kedua-dua bidang berkenaan. Tanpa sokongan moral daripada pensyarah, rakan, pegawai wataniah dan ayah serta adik-beradik, tidak mungkin saya mendapat anugerah ini.

“Saya tidak terlalu menaruh harapan muncul penerima anugerah ini tetapi saya yakin jika kita melakukan sesuatu dengan penuh minat, tekun dan bersungguh-sungguh, semuanya pasti menjadi kenyataan,” katanya yang turut menerima Anugerah Kecemerlangan Jabatan dan Anugerah Kecemerlangan Alumni 2014.

Thahirah juga tersenarai dalam pencalonan Anugerah Menteri Pendidikan Malaysia sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Politeknik 2014.

Merasai pengalaman hidup dalam dunia ketenteraan yang sering mencabar menjadikannya individu yang lebih berdisiplin, bertanggungjawab, komited dan sedia mengharungi pelbagai cabaran mendatang.

“Latihan memang ‘kena henyak sampai lebam’ tetapi saya suka kerana saya mencintai dunia ketenteraan. Meredah hutan, bermain selut, mendaki bukit, menggali kubu, ‘berperang’, pikul senjata, berlari sambil menggalas beban, semuanya amat menyakitkan.

“Saya buat semua itu, mencabar diri dan akhirnya berjaya. Bukan semua mampu melakukannya tetapi bagi saya, selagi ada kemahuan di situ terbentang jalan yang sangat luas,” ujarnya.

Menyingkap kisah lalu yang menjadikan gadis kecil molek ini begitu ‘berjiwa besar’ dan ‘berhati waja’ untuk terus kekal bersama pasukan wataniahnya itu, tanpa berselindung Thahirah merungkai kata, semuanya bermula selepas ibunya, Noraini Mahmud meninggal dunia kerana komplikasi penyakit kencing manis dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE).

“Saya berusia 14 tahun ketika ibu meninggal dunia dan benar-benar terasa pemergiannya kerana hubungan kami sangat rapat.

“Hidup saya kosong dan saya seperti kehilangan arah walaupun ayah tetap di sisi memberi sokongan moral dan membantu memulihkan emosi saya,” katanya.

Begitupun, semangatnya sedikit demi sedikit pulih atas sokongan moral guru dan jurulatih unit beruniform, Kadet Remaja Sekolah (KRS) yang disertainya di sekolah.

“KRS mengajar saya erti hidup yang sebenarnya. Kehilangan orang tersayang bukan penamat segalanya, sebaliknya menjadikan saya lebih bersedia menghadapi cabaran.

“Berpegang pada kata-kata itu, saya bangkit kembali memulihkan semangat yang hampir terpadam dan memberi tumpuan pada pelajaran,” kata anak jati Kampung Boyan, Taiping, Perak itu.

Thahirah berkata, sepeninggalan ibunya, dia terpaksa mengambil alih tugas menjaga dua adiknya, Imran Khalid dan Ahmad Nidal yang berusia 11 dan sembilan tahun ketika itu.

“Saya anak manja arwah ibu, tidak begitu pandai melakukan kerja rumah selain belajar tetapi apabila ibu meninggal dunia kerana kencing manis, saya terpaksa melakukan semua kerja kerana dua kakak, Nur Zakiah dan Nadzirah melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar.

“Tatkala rakan sekelas sibuk menyalin nota diberikan guru, saya pula sibuk menulis senarai barang keperluan yang perlu dibeli ketika pulang dari sekolah,” katanya.

Oleh kerana kecintaannya terhadap ‘pakaian celorong celoreng’ itu jugalah Thahirah tidak menunggu lama membuat pilihan menyertai pasukan askar wataniah kerana sudah mempunyai asas ketika bersama KRS sebaik diterima memasuki Polisas.

Daripada seorang anak manja, Thahirah berubah menjadi individu yang memiliki jiwa kental dan ternyata teruja apabila berkongsi cerita berkaitan pengalamannya sepanjang bersama pasukan askar wataniah itu.

“Saya kenal Ketua Kompeni B, Kapten Rizal Rohim sejak semester satu lagi dan dialah yang banyak memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk terus kekal dalam pasukan ini walaupun selepas tamat pengajian.

“Saya gembira dan seronok menjalani latihan terutama ketika menyertai perkhemahan tahunan yang menyediakan pelbagai aktiviti ‘ketenteraan’ yang memang mencabar untuk seorang perempuan bertubuh kecil seperti saya tetapi saya tidak pernah mengaku kalah,” katanya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, setiap kali cuti semester, dia tidak akan melepaskan peluang mengikuti kursus dan latihan, malah sanggup ponteng kelas semata-mata mengikuti siri latihan yang diadakan ketika waktu kuliah.

“Sehingga ke hari ini masih terngiang-ngiang di telinga apabila menerima sindiran tajam pensyarah yang kerap mengeluarkan pertanyaan, ‘kamu datang sini nak belajar atau nak jadi askar?’

“Ada masa saya berkecil hati dan terkilan dengan sikap mereka. Sepatutnya mereka beri sokongan moral dan meng­galakkan saya aktif dalam wataniah tetapi perkara sebaliknya berlaku,” katanya yang turut memenangi anugerah keseluruhan terbaik ketika mengikuti Kursus Asas Perajurit Muda (S) Siri 3/2013.

Bagaimanapun, berkat kesungguhan dan ketekunan Thahirah untuk tampil cemerlang dalam kedua-dua bidang, sindiran itu akhirnya digantikan dengan ucapan tahniah kerana ternyata ‘gadis bertudung labuh’ itu bijak membahagikan masa antara pelajaran dan latihan pasukan.

“Saya bukanlah seorang ulat buku tetap sindiran pensyarah dan rakan kuliah menjadi senjata untuk berjaya dan akhirnya mereka turut gembira apabila saya menerima anugerah Ketua Jabatan tiga kali berturut-turut iaitu di semester tiga, empat dan lima.

Pengalaman mengikuti Kursus Asas Disiplin Anggota Rendah (KADAR) selama sebulan di Kem Tebrau, Johor Bahru, Johor pada April 2014 menjadi sejarah paling manis buat Thahirah yang diamanahkan mengetuai pasukan wanita Polisas apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik KADAR Bakal PTTR (S) Siri 1/2014.

“Terselit 1,001 kepayahan untuk memenangi anugerah itu selain ditauliahkan pangkat lans koperal.

“Saya berjuang dalam demam sebenarnya sehingga pada satu tahap ketika ujian terakhir di medan kawad, saya memberi arahan sehingga hampir termuntah tetapi dengan semangat juang yang ada, saya berjaya menghabiskan setiap ujian dan akhirnya kejayaan berpihak kepada saya,” katanya.

Thahirah berkata, sepanjang sebulan menjalani kursus itu, dia diajar banyak perkara baru mengenai ilmu ketenteraan dan mendalami ilmu sedia ada.

“Anggota sukarela mempelajari pelajaran taktik, ilmu medan perang (IMP), menjalani latihan kawad serta ujian kawad termasuk kawad senjata, kawad tongkat dan pengenalan kepada kawad setingkat.

“Kami juga menjalani ujian mengajar, ujian pengendalian senjata dan ujian perintah pemetaan, latihan medan dan latihan jalan laju sejauh 11 km, serang hendap, mara, serangan dan latihan menembak,” katanya yang pernah menyertai Perkhemahan Tahunan Askar Wataniah Politeknik SeMalaysia (MalPTAAC) Siri 7/2012.

Thahirah berkata, walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, dugaan dan halangan serta pernah menerima tekanan emosi daripada bekas pensyarah dan rakan kuliah, dia tetap berhasrat untuk terus kekal dalam pasukan simpanan itu.

“Saya sayangkan pasukan ini dan saya akan tetap setia bersama walaupun menerima pelbagai ujian mental dan fizikal.

“Begitupun, saya terkilan kerana masih ada kalangan masyarakat masih memandang sebelah mata terhadap Askar Wataniah, padahal kami adalah benteng pertama andai berlaku peperangan atau rusuhan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 2:27 PM