Ahmad Salim Bachok

Kejohanan sukan terbesar dunia Olimpik Rio 2016 yang berakhir Ahad lalu meninggalkan banyak kenangan, pengajaran dan kesan kepada setiap ahli sukan dan pegawai dari 207 negara yang menyertainya, terutamanya tuan rumah, Brazil.

Walaupun dilanda pelbagai kontroversi sebelum tarikh bermulanya Olimpik Rio pada 5 Ogos lalu, temasya sukan itu akhirnya berjaya diadakan dengan penuh gilang-gemilang. Dengan kos penganjuran dianggarkan melebihi RM81 bilion, temasya Rio boleh dianggap antara yang paling berjaya di dalam sejarah Olimpik moden.

Pesta yang diungguli gergasi sukan dunia, Amerika Syarikat, yang merangkul 46 pingat emas diikuti Great Britain 27 emas dan China 26 emas itu menutup tirai kemeriahannya pada malam Ahad lalu sambil menghulur tangan menjemput Tokyo untuk menganjurkan temasya berikutnya pada 2020.

Olimpik Rio dengan motto Dunia Baru (A New World) ini disertai oleh 11,303 atlet yang mengambil bahagian dalam 28 acara sukan dengan 282 pingat emas menjadi rebutan. Malaysia dengan pungutan empat pingat perak dan satu gangsa menduduki tempat ke-60, enam mata di belakang Singapura yang berjaya mendapat emas pertama olimpiknya melalui perenang sensasinya, Joseph Schooling.

Bagaimanapun pencapaian ahli sukan Malaysia agak membanggakan kali ini kerana berjaya mengatasi kedudukan dan pungutan pingat bagi Mexico serta India yang berkedudukan di nombor 61 dan 67. Memang seronok memikirkan bahawa Malaysia yang berpenduduk 30 juta lebih bagus kedudukannya di Olimpik Rio berbanding negara berpenduduk 120 juta (Mexico) dan 1.3 bilion (India).

Tetapi perasaan itu menjadi sebaliknya apabila melihat kedudukan negara di mana jaguh pecut 100 meter dan 200 meter, Usain Bolt tinggal, iaitu Jamaica yang hanya berpopulasi seramai tiga juta jiwa, tetapi mampu menggapai enam pingat emas. Ini membuatkan Jamaica berkedudukan nombor 16 dalam carta Olimpik Rio yang lalu.

Malah atlet negara miskin Cuba yang berpenduduk tidak sampai 11.5 juta pun mampu mendapat lima pingat emas dan berkedudukan di nombor 18, manakala Kenya (15) lebih hebat lagi dengan enam emas. Malah Ethiopia yang sering dilanda kebuluran itu pun berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat ke 35.

Nama Usain Bolt terus dijulang di Rio selepas berjaya mempertahankan mahkota 100 meter dan 200 meter lari pecut buat kali ketiga secara berturut-turut di temasya olimpik, bermula di Beijing pada 2008, London (2012) dan terkini di Rio de Janeiro. Dalam ketiga-tiga temasya sukan ini, ketangkasan Bolt nampaknya tidak mampu dikejar oleh pelari handalan lain.

Satu lagi nama adalah Mo Farah, pelari legenda warga Great Britain. Atlet beragama Islam berusia 33 tahun yang lahir di Mogadishu, Somalia ini berjaya mempertahankan dua pingat emas dalam acara 5,000 meter dan 10,000 meter yang dimenanginya di London pada Olimpik 2012 yang lalu.

Sementara atlet baru yang paling menyerlah kali ini datang dari negara jiran kita, iaitu Joseph Schooling, anak muda berumur 21 tahun yang berjaya mengalahkan gergasi kolam renang dari Amerika Syarikat, Michael Phelps, dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu dengan masa 50.39 saat. Kejayaan Schooling ini melayakkan dia menerima insentif RM3 juta pemberian badan sukan republik Singapura.

Agak menarik mengenai Schooling, anak tunggal berusia 21 tahun ini kini menuntut di Universiti Texas, Amerika Syarikat. Bapanya, Colin Schooling adalah seorang ahli perniagaan berketurunan Eurasian yang lahir di Singapura. Ibunya, May, adalah wanita Cina rakyat Malaysia berasal dari Ipoh, Perak.

Apa pun, kejayaan Malaysia membawa pulang lima pingat dari Rio adalah sesuatu yang amat membanggakan kita semua. Sokongan padu sebahagian besar rakyat Malaysia pada setiap kali atlet kita turun bertanding adalah bukti bahawa sukan mampu menyatukan kita semua.

Kegagalan atlet paling cemerlang Malaysia di Rio, Datuk Lee Chong Wei, membawa pulang pingat emas pertama Olimpik untuk negara turut dirasakan oleh hampir setiap warganegara ini. Begitu juga kejayaan Chong Wei di peringkat separuh akhir ketika membenam Lin Dan dapat dinikmati dan rasa bangga yang begitu mendalam di setiap sanubari kita.

Tetapi apakan daya, usaha sudah dibuat sehabis cara, cuma nasib yang belum menyebelahi kita. Kekalahan dan kekecewaan yang tidak seberapa ini mungkin ada hikmahnya. Mungkin pada Olimpik 2020 di Tokyo nanti akan lahir pemain badminton sehebat Chong Wei yang mampu menyumbang emas untuk negara.

Malah siapa tahu, mungkin pada temasya sukan empat tahun lagi itu akan lahir juga atlet negara bertaraf Joseph Schooling atau sehebat Mo Farah dan Usain Bolt. Maka sekarang, selain doa, pihak yang berwajib dan badan sukan berkaitan perlu melakukan sesuatu untuk mengenal pasti dan melahirkan atlet berkualiti emas pada Olimpik Tokyo nanti.

Kita sebenarnya tak mampu lagi untuk terus berasa kalah dan rendah diri dalam sukan dunia berbanding negara jiran lain seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dan tentunya Singapura. Majulah sukan demi maruah negara!

Penulis Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 9:14 PM