BOLT bergambar bersama keluarganya. FOTO IG Usain Bolt
BOLT bergambar bersama keluarganya. FOTO IG Usain Bolt
AFP

Kingston: Atlet Olimpik terbaik sepanjang zaman, Usain Bolt serta pasangannya, Kasi Bennett mengumumkan kelahiran anak kembar lelaki mereka yang dinamakan Thunder Bolt dan Saint Leo Bolt.

Bolt mengumumkan perkara itu di Instagram miliknya bersama gambar keluarga tanpa menjelaskan tarikh sebenar kelahiran anak kembarnya itu.

Bennett turut memuat naik gambar pasangan itu bersama anak kembar serta anak perempuan mereka, Olympia Lightning dengan kapsyen: "@usainbolt anda adalah tunjang keluarga ini dan bapa terbaik untuk anak-anak. Kami menyayangi anda sehingga ke akhirnya."

Olympia Lightning dilahirkan pada Mei 2020 namun namanya hanya diumumkan dua bulan selepas itu.

Bolt yang memenangi lapan pingat emas di Sukan Olimpik 2008, 2012 dan 2016, tidak akan beraksi pada temasya Olimpik Tokyo tahun ini selepas mengumumkan persaraan pada 2017.

Manusia paling pantas dalam sejarah itu memenang rekod dunia acara pecut 100 dan 200 meter (m).

Hanya Bolt sahaja satu-satunya atlet yang memenangi kedua-dua acara 100 dan 200m sepanjang tiga temasya Olimpik berturut-turut.

Bolt yang memenangi pingat emas di 23 kejohanan utama pernah mencuba nasib menjadi pemain bola sepak profesional selepas bersara namun gagal mendapatkan kontrak dan bersara daripada semua acara sukan pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 12:46 PM