REEZAL berkata sasaran itu adalah realistik. FOTO Aswadi Alias
REEZAL berkata sasaran itu adalah realistik. FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tampil lebih berani dengan meletakkan sasaran meraih tiga pingat dengan satu daripadanya adalah emas kepada barisan atlet yang beraksi di temasya Olimpik Tokyo nanti.

Mengambil kira pelbagai faktor dengan kekangan yang dihadapi oleh barisan atlet negara, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia adalah penetapan yang realistik biarpun beberapa negara termasuk negara jiran iaitu Singapura tidak meletakkan sebarang sasaran biarpun pernah meraih satu emas menerusi Joseph Schooling.

Malah tuan rumah, Jepun sendiri tidak meletakkan sebarang sasaran kepada atlet mereka dan lebih menumpukan kepada kesihatan walaupun sebelum ini mereka menyasarkan 30 emas.

Reezal bagaimanapun berkata, sebagai menghargai usaha dan pengorbanan atlet yang masing-masing mempunyai semangat dan keyakinan, sasaran itu adalah sebahagian daripada pembakar semangat untuk atlet berjuang mencapai impian itu.

"Dengan keadaan semasa dan tidak mahu menafikan kesungguhan atlet yang benar-benar ingin hadiahkan dan bawa pulang emas pertama buat negara, sasaran tiga pingat dan satu daripadanya adalah emas dianggap realistik.

"Saya tahu atlet tidak mahu tekanan tapi mereka juga tidak mahu dinafikan kemampuan dan ada daripada mereka yang mempunyai iltizam yang tinggi untuk mencapai sasaran itu.

"Malah ada atlet yang mahu menjadikan sasaran pingat ini sebagai azimat kepada mereka. Jadi saya mengharapkan doa dari seluruh rakyat untuk kontinjen negara membawa pulang emas pertama dari Tokyo kali ini," katanya.

Reezal yang akan berlepas ke Tokyo bersama barisan atlet berbasikal negara pada 25 Julai ini berkata, tiga pingat itu disandarkan kepada tiga jenis sukan itu basikal trek, badminton dan juga terjun.

Sementara itu bagi temasya Paralimpik pula, Reezal berkata, sasaran yang diletakkan adalah mengulangi pencapaian di Rio dengan tiga emas pada penyertaan kali ke-10 kontinjen negara ke temasya itu.

Seramai 22 atlet berjaya melayakkan diri dengan acara badminton kali pertama akan dipertandingkan pada temasya Tokyo nanti.

"Secara realistiknya, kami mengambil kira semua aspek dan sasaran yang diletakkan iaitu menyamai pencapaian tiga emas di Rio.

"Tumpuan dan sandaran kali ini ini adalah pada sukan olahraga, powelifting, badminton dan memanah.

"Dalam acara badminton, Cheah Liek Hou kini berkedudukan ranking nombor dua dunia dan dua kali pernah menewaskan pemain di ranking nombor satu jadi peluang untuknya menghadiahkan emas adalah cerah," katanya.

Untuk rekod sepanjang 16 penampilan kontinjen negara di temasya Olimpik, Malaysia berjaya membawa 11 pingat iaitu lapan perak dan tiga gangsa manakala bagi temasya Paralimpik sebanyak 11 pingat berjaya di bawa pulang tujuh menerusi olahraga dan empat powerlifting.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 5:31 PM