STADIUM Nasional Bukit Jalil. -Foto YAZIT RAZALI
STADIUM Nasional Bukit Jalil. -Foto YAZIT RAZALI
BERNAMA

TEMASYA Sukan SEA Ke-29 dirasmikan esok, detik bermulanya perjuangan memburu pingat emas dan tambah mengujakan temasya kali ini menghimpunkan kehadiran paling ramai juara dunia dan pemenang pingat Olimpik yang mencipta nama dalam tempoh dua tahun lalu untuk membawa temasya rantau ini lebih gemilang.

Selepas 16 tahun, temasya dwitahunan itu kembali ke bumi Malaysia dengan bandaraya Kuala Lumpur sebagai tuan rumah untuk kali keenam, menghimpunkan 4,900 atlet dari 11 negara untuk memburu 404 pingat emas daripada 38 sukan dengan luncur ais, hoki ais, hoki dalam dewan dan kriket dianjurkan buat julung kalinya.

Pertarungan bagi gelaran juara keseluruhan dikatakan bakal menjadi milik Malaysia atau Thailand yang mendominasi empat daripada lima temasya lalu.

Malaysia menyasarkan 111 pingat emas bersandarkan kelebihan di laman sendiri dan sebagai melambangkan penguasaan tuan rumah, tugas yang memerlukan 844 atlet negara menilai semula pungutan 62 emas dan tempat keempat di Singapura dua tahun lalu.

Temasya itu juga untuk menguji pencapaian Program Podium negara menjelang Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun depan dan matlamat untuk memenangi pingat emas Olimpik yang pertama untuk Malaysia di Tokyo tiga tahun lagi.

Di sebalik kehebatan dan kemasyhuran yang baru dicipta mereka, tiga juara dunia negara – jaguh keirin Azizulhasni Awang, ratu terjun Cheong Jun Hoong dan jaguh silat Al-Jufferi Jamari – dan Pandelela Rinong, wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik London 2012 – tidak melepaskan peluang untuk beraksi pada temasya ini. Dua penerjun itu turut berkongsi pingat perak dalam 10m platform seirama wanita di Olimpik Rio.

Dua lagi peserta handalan adalah juara Olimpik Rio - perenang Singapura Joseph Schooling dan penembak tepat Vietnam, Hoang Xuan Vinh. Schooling, pemenang sembilan emas di Singapura, akan beraksi dalam enam acara termasuk acara kegemarannya 100m kupu-kupu, manakala Xuan Vinh dalam acara 10m air pistol selepas menuai emas di Rio.

Dalam menetapkan sasaran, Malaysia mahu mengulangi kejayaan pada 2001 semasa negara menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu dan memecahkan rekod seabad untuk julung kalinya muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas.

Azizul, Jun Hoong dan Pandelela akan mengetuai perjuangan itu dengan harapan untuk menyapu bersih 26 pingat emas ditawarkan dalam acara terjun dan trek berbasikal lelaki.

Pencak silat, wushu, karate, gimnastik berirama, boling padang, kapal layar, skuasy, memanah, bowling dan olahraga mempunyai prospek tinggi untuk kilauan emas bagi atlet negara.

Kemunculan pelari muda Khairul Hafiz Jantan, yang memecahkan rekod kebangsaan 100m dan 200m, meningkatkan lagi harapan Malaysia yang akhirnya mempunyai jaguh pecut untuk merebut semula gelaran lelaki terpantas di Asia Tenggara selepas kejayaan Nazmizan Muhammad menjulang gelaran itu pada 2003 di Vietnam.

Thailand menyasarkan 100 pingat emas dan membuktikan mereka mampu mencapainya berdasarkan prestasi meraih 107 emas pada Sukan 2013 di Myanmar.

Mereka mempertaruhkan kehebatan dalam olahraga dan menembak, dua sukan itu saja menyumbang dua pertiga daripada 95 emas diraih di Singapura termasuk menjuarai acara paling berprestij bola sepak lelaki yang mereka sasar untuk mengekalkan gelaran dengan meraih gelaran ketiga. Penguasaan atlet Thailand dalam tenis, petanque dan badminton wanita tidak boleh dipandang ringan.

Vietnam, kuasa sukan yang semakin menyerlah di rantau ini, mahu muncul antara tiga terbaik selepas menduduki tempat ketiga di belakang Thailand dan Singapura pada temasya lalu dengan 73 emas. Selain pemenang pingat emas acara menembak Xuan Vinh, negara itu turut mempertaruhkan jaguh renang Thi Anh Vien dalam 11 acara selepas kejayaan wanita itu meraih lapan emas pada 2015.

Singapura menghantar kontinjen paling ramai 569 atlet untuk bersaing dalam 35 sukan dan yakin mampu mendominasi Pusat Akuatik Nasional. Schooling dan rakannya meraih 23 daripada 38 gelaran dalam acara renang di samping memecahkan beberapa rekod pada temasya lalu.

Indonesia dan Filipina pula menyasarkan untuk memperbaiki prestasi dengan masing-masing menyasarkan lebih 50 emas. Negara lain iaitu Myanmar, Kemboja, Laos, Brunei dan Timor-Leste turut menetapkan sasaran masing-masing dan tidak boleh dipandang mudah.

Indonesia, juara keseluruhan sebanyak 10 kali, menggunakan temasya ini sebagai batu loncatan untuk Sukan Asia tahun depan selaku tuan rumah. Dengan jaguh badminton masing-masing kini menyertai Kejohanan Dunia di Scotland, Indonesia dan Malaysia akan bertarung untuk melahirkan juara baru dalam badminton lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 12:41 PM