PHELPS akui main peranan cetus semangat luar biasa lawan.
PHELPS akui main peranan cetus semangat luar biasa lawan.
AFP

Rio de Janeiro: Michael Phelps (gambar) mengaku dia memainkan peranan kecil dalam kekalahan dramatik kepada jaguh Singapura Joseph Schooling tetapi tegas mengatakan dia langsung tidak berdendam.

Phelps menghabiskan masa dalam acara renang di Olimpik dengan menumpaskan perenang lain dan dia seakan memberi inspirasi setiap kali di kolam.

Bagaimanapun, Schooling yang mengambil gambar bersama Phelps pada umur 13 tahun, menonjol dalam acara 100 meter kuak kupu-kupu, menafikan hasrat legenda Amerika Syarikat itu untuk mencatat rekod dengan memenangi semua acara di Rio.

“Ia sangat menakjubkan. Saya memang mahu menang tetapi dapat melihat Joe serta apa yang dilakukan dalam tempoh beberapa tahun sebelum ini, menyaksikan ia adalah sebahagian kecil inspirasi yang saya berikan kepadanya. Ia sangat bermakna buat saya.

“Ia sangat istimewa, kerana menunjukkan saya berjaya mengubah sedikit sukan ini dan sesuatu yang saya mahu sentiasa lakukan,” kata Phelps selepas tumpas kepada perenang yang 10 tahun lebih muda daripadanya.

Kekalahan itu menyaksikan dia meraih satu perak di mana sebelum ini dia meletakkan sasaran untuk meraih lima emas di Rio.

Selepas kejayaan Schooling, gambarnya pada usia 13 tahun bersama Phelps ketika pasukan Amerika Syarikat melakukan kem latihan menjelang pra-Olimpik Beijing di Singapura pada 2008 menjadi viral di media sosial.

“Ia adalah sebab utama kenapa saya mahu menjadi seorang perenang yang bagus,” kata Schooling mengenai Phelps.

Dua hari selepas menamatkan saingan di Olimpik kelima dan terakhir, Phelps berkata, dia tidak boleh membayangkan mengenai siapa yang akan meneruskan legasinya.

Phelps berpeluang melihat peningkatan Schooling sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas perenang Singapura itu berlatih dan beraksi di Amerika Syarikat di Sekolah Bolles di Florida serta Universiti Texas.

Schooling berada dalam radar Phelps selepas memecahkan rekod Kejohanan Antara Kolej dan Terbuka Amerika Syarikat di Texas sebelum meraih gangsa di Kejohanan Dunia di Russia tahun lalu.

Selepas Schooling mencatat masa 50.39 saat untuk mengenepikan Phelps, perenang Afrika Selatan Chad Le Clos dan atlet Hungary Laszlo Cseh yang berkongsi perak dengan catatan 51.14s, Phelps mengakui bahawa Schooling memberikan persembahan luar biasa dan dia gembira melihat kelajuan perenang berkenaan.

Ketika Schooling kembali sebagai wira di Singapura Isnin lalu, Phelps pula mengumumkan persaraan selepas membina legasi dengan meraih 23 emas di lima temasya.

“Saya duduk bersama tunang saya pada satu malam dan kami bersembang mengenai perkara ini, kami berdua menangis, kerana ia adalah seperti impian menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:38 AM