KAKITANGAN awam di Bangunan Persekutuan Ranau berhimpun di luar bangunan ketika gegaran berlaku. FOTO Cleo Will
KAKITANGAN awam di Bangunan Persekutuan Ranau berhimpun di luar bangunan ketika gegaran berlaku. FOTO Cleo Will
Foto Cleo Will


Ranau: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan memantau keadaan susulan gempa bumi lemah di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Ranau Jimmy Lagung berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu tetapi tidak menerima sebarang panggilan kecemasan setakat kini.

“Bagaimanapun, bomba dan beberapa agensi keselamatan lain sentiasa bersiap siaga bagi berdepan sebarang kemungkinan berlaku gegaran yang mengancam keselamatan dan harta benda,” katanya.

Pasukan Pegawai Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang berpengkalan di puncak Gunung Kinabalu juga tidak menerima sebarang laporan sebarang insiden tidak diingini berlaku, katanya ketika dihubungi, hari ini

Penduduk di daerah ini sekali lagi dikejutkan dengan kejadian gempa bumi lemah berukuran 4.0 Magnitud, di sini, hari ini.

Kejadian 9.39 pagi itu berpusat kira-kira 16 kilometer Barat Laut Ranau dan dikesan pada kedalaman 10 kilometer.

Insiden itu menyebabkan gegaran kecil dirasai sekitar daerah berkenaan dan turut dirasai penduduk sekitar Kota Kinabalu. Namun tiada sebarang kecederaan atau kejadian tidak diingini berlaku.

Difahamkan, gegaran selama kira-kira lima saat itu mengejutkan orang ramai termasuk kakitangan awam di Bangunan Persekutuan sehingga bertindak keluar dari bangunan sebagai langkah keselamatan.

Kali terakhir gempa bumi dilaporkan berlaku di daerah itu pada 5 Ogos lalu yang berukuran 3.0 Mangnitud, kira-kira 11 kilometer Barat dari pekan Ranau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2016 @ 12:02 PM