Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto ROSDAN WAHID
Antara tertuduh yang dibawa ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto ROSDAN WAHID
BERNAMA

Shah Alam: Enam rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi menghadapi dakwaan membunuh seorang lelaki dalam satu perhimpunan haram awal bulan ini.

Mohamad Nazar Kasin, 32; B Shandru, 32; S Yunusraj, 26; D Vikram, 24; K Ganeswaren, 33; dan K Madhavan, 23; semuanya tidak mempunyai pekerjaan tetap, didakwa secara bersama membunuh R Dhevar, 19.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Raja Noor Adila Raja Mahyaldin, namun tiada pengakuan direkodkan.

Keenam-enam lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di depan pos pengawal Maplewood, Saujana Bukit Jelutong, di sini, antara 2.22 pagi hingga 2.30 pagi, 7 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 302 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Raja Noor Adila menetapkan 22 September untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret berasingan, lima daripada tertuduh turut didakwa merusuh dan memiliki parang, kayu, 'fork lock' serta helmet untuk menyerang, pada 7 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan itu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 10:26 PM