Siraj Mohd Zaini


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Shah Alam, hari ini, atas tuduhan mencederakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan dan birasnya, 27 Oktober lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhamad Ikhwan Khairi, 29, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di kedua-dua mahkamah berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan di hadapan Hakim Rihaida Rafie, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Sohaimi, 48, di bahagian kepalanya sehingga putus satu saraf 'occipital nerve' dengan menggunakan pisau.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di nombor 48, Jalan Desa Mocis 3, Sungai Pelong, 8.45 malam, pada 27 Oktober lalu dan pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Sementara itu, di hadapan Majistret Siti Noor Adilla Raja Mahyaldin, Muhamad Ikhwan didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zulkifli Zainal, 38, di bahagian kepala sehingga pipi kiri dengan menggunakan pisau, di tempat, masa dan tarikh sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Peguam bela tertuduh, Mohd Hazrin memohon supaya anak guamnya dihantar ke hospital bagi mendapatkan penilaian psikiatri dan laporan perubatannya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selama sebulan dan kes disebut semula pada 5 Disember ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri dan Amira Haziqah Zulkifli.

Berita berkaitan

'Saya maafkan'

Tiga tikaman [METROTV]

Ditikam di depan rumah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 2:21 PM
Tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selama sebulan dan kes disebut semula pada 5 Disember ini. FOTO Muhammad Sulaiman
Tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selama sebulan dan kes disebut semula pada 5 Disember ini. FOTO Muhammad Sulaiman