Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jurujual yang juga ibu tunggal kepada dua anak mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dua tuduhan melakukan pecah amanah dalam urusan jual beli kereta membabitkan kerugian RM91,900.

Tertuduh, Nor Azizah Embong, 50, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz dan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang pendahuluan kereta Honda City 1.5V berjumlah RM47,400 untuk kegunaan sendiri pada 10 hingga 14 Julai 2019.

Nor Azizah turut didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang pendahuluan kereta Honda HRV 1.8L berjumlah RM44,500 yang diterima daripada seorang wanita untuk kegunaan sendiri pada 9 Mei hingga 10 Oktober 2020.

NOR Azizah dituduh melakukan pecah amanah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori
NOR Azizah dituduh melakukan pecah amanah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah syarikat automotif di kawasan perindustrian Gong Badak, Kuala Nerus.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah menetapkan 25 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM17,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full dan Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nur Ain Mohd Rani dan Nurul Najmi Adila Mohd Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 3:43 PM