NUR Atikah fokus mengangkat bebanan.
NUR Atikah fokus mengangkat bebanan.
Oleh Nor Hairulnizam Wahid


Kuala Lumpur: Sewaktu rakan seusia menikmati cuti persekolahan sepuas-puasnya, mereka pula mengerah kudrat di gimnasium Majlis Sukan Negara (MSN), mencipta laluan untuk menjadi sebaris pemenang pingat emas Komanwel 2014, Mohd Hafifi Mansor.

Bunyi palang dipasang plat bebanan yang menghentam lantai kayu sebaik dilepaskan ‘badang cilik’ apabila mengangkat bebanan, membuatkan bagi yang kali pertama melihatnya, menggeleng tidak percaya.

Siapa sangka, meskipun bertubuh kecil, mereka berupaya mengangkat bebanan sekurang-kurangnya 30 kilogram, tetapi itulah kemampuan sebenar dimiliki dan jika diasah, mampu menjadi wakil negara satu hari nanti.

Seramai 36 atlet dalam pembikinan, berusia 12 hingga 14 tahun menyertai Kem Angkat Berat anjuran Cawangan Pelapis MSN yang diadakan baru-baru ini.

Lebih istimewa, ia juga menawarkan ‘tiket’ untuk diserapkan ke Program Sukan Olimpik Remaja 2018, dengan fasa awal membabitkan hanya enam atlet lelaki dan empat atlet wanita.

Elfrado Roy Matin, 14, meskipun dilahirkan sebagai anak bekas jaguh angkat berat negara, Matin Guntali berkata, kem berkenaan banyak memberi pendedahan kepadanya untuk memperbaiki angkatannya.

“Selain memperbaiki teknik angkatan, kami juga diajar bagaimana mengurangkan risiko kecederaan menerusi teknik memanaskan badan dan regangan yang betul,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang yang turut mahu mengikut jejak dua kakaknya, Elyone dan Elyonica dalam sukan terbabit.

Syed Ajmal Al Qadree Syed Amran, 12, meskipun bertubuh kecil tetap mempamerkan peningkatan selepas menyertai kem berkenaan dan ia diakui sendiri pelajar dari Perlis itu.

“Sebelum ini, angkatan saya dalam snacth adalah 33 kilogram dan clean and jerk pula 43 kilogram. Selepas mendapat bimbingan jurulatih bagaimana melakukan angkatan dengan betul, saya berjaya mengangkat 35kg dalam snatch dan 45 kg dalam clean and jerk,” katanya yang turut mengagumi Hafifi dan Zulhelmi Md Pisol.

“Yang penting di sini adalah belajar mengenai disiplin dan saling bantu membantu. Saya ingin mewakili Malaysia satu hari nanti.”

Antara program yang dijalankan sepanjang kem berkenaan termasuk latihan angkatan snatch dan clean & jerk, ujian fizikal, ceramah pemakanan dan doping oleh Institut Sukan Negara, serta kejohanan mini.

Kem berkenaan turut mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman antaranya Mohd Nor Osman, Nordin Jusoh termasuk jurulatih dari Bulgaria, Zhenya Sarandeliev.

“Banyak tips yang diberikan antaranya lebihkan beban angkatan pada setiap Jumaat untuk membiasakan diri dengan angkatan baru,” kata Elson Edward, 14.

Bagi Nur Atikah Mohd Sobri, 13, kem berkenaan memberikannya peluang untuk bertemu ‘rakan seperjuangan’ meskipun mereka berasal dari negeri berbeza.

“Ada yang pernah saya jumpa ketika kejohanan dan ada yang tidak,” katanya yang pernah meraih pingat gangsa di Sukan Malaysia (Sukma) Perlis dalam kategori 48kg.

“Sukan ini bagi saya begitu istimewa apatah lagi bukan semua perempuan dapat melakukannya,” kata Elly Cascandra Engelbert, 14, yang menjadikan Hafifi dan Arrico Jumith sebagai idolanya.

Sementara itu, Pengarah Cawangan Pelapis MSN Jefri Ngadirin berkata, selain pemilihan untuk program YOG, mereka juga akan diserapkan untuk program Sukan Remaja Komanwel (CYG).

“Kita mahu membuat persediaan awal bagi memastikan Malaysia memiliki atlet berpotensi ketika temasya sebenar kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Disember 2014 @ 5:09 AM