CHEF De Mission Tan Sri Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid (kiri) berbual dengan  Hafifi  ketika meninjau persiapan atlet itu dalam sukan tersebut di Riocentro.
CHEF De Mission Tan Sri Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid (kiri) berbual dengan Hafifi ketika meninjau persiapan atlet itu dalam sukan tersebut di Riocentro.
Hamdan Saaid


Rio de Janeiro: Prestasi atlet angkat berat kebangsaan Mohd Hafifi Mansor berada pada tahap memberangsangkan apabila mengatasi rekod kebangsaannya sendiri ketika sesi latihan sebelum Sukan Olimpik Rio di Pavillion 5, Rio Centro, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2014 berusia 25 tahun itu melakukan angkatan 145kg dalam kategori snatch dan 180kg bagi clean and jerk, mengatasi rekod kebangsaan 141kg dalam kategori jerk dicatatnya pada Kejohanan Dunia di Paris pada 2011.

Rekod kebangsaan 181kg bagi kategori clean & jerk menjadi milik atlet kelahiran Terengganu itu yang dicatatnya empat tahun lalu.

“Saya berada pada tahap terbaik ketika ini dan akan berusaha melakukan paling baik,” katanya kepada media Malaysia semasa sesi latihan dua jam yang diselia jurulatihnya dari China Wang Zhiqun.

Di sebalik semangat tinggi itu Hafifi berkata, dia berharap dapat mengatasi perasaan gementar dan tekanan semasa pertandingan.

Pengurus pasukan Pang Siew Huat menyifatkan prestasi dicatat Hafifi sebagai petanda baik untuk memecahkan rekod kebangsaan apabila acara kategori 69kg berlangsung pada 9 Ogos.

Katanya, atlet angkat berat itu akhirnya menguasai teknik betul selepas menjalani latihan lima bulan di Sekolah Sukan Foshan di Guangzhou, China sebelum datang ke Rio pada 27 Ogos ini.

Beliau berkata, latihan di China berjaya meningkatkan prestasi Hafifi dengan jurulatih itu kini membuat penyesuaian dan memperkemas teknik, di samping memastikan atlet itu tidak tunduk kepada tekanan.

Siew Huat berkata, Hafifi menunjukkan peningkatan ketara semasa latihan di China, malah mencatatkan jumlah angkatan konsisten sekitar 145kg dalam snatch dan 184kg dalam snatch & jerk.

Prestasi jumlah angkatan Hafifi semalam turut mendapat perhatian atlet Korea Utara yang turut menjalani latihan bersama-sama pemenang pingat emas Olimpik London 2012 dalam kategori 56kg, Om Yun Choi yang tidak melepaskan peluang menyaksikan setiap cubaan dilakukan atlet Malaysia itu.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:19 AM