Incheon: Atlet angkat berat Taiwan, Lin Tzu Chi mencipta rekod baru dunia dalam acara clean and jerk dan keseluruhan bagi memenangi pingat emas kategori bawah 63 kilogram (kg) di Sukan Asia, semalam.

Tzu Chi mengangkat bebanan 145kg pada percubaan terakhir, 2kg lebih berat daripada rekod 2010 Maiya Maneza dari Kazakhstan di Turki. Dia kemudian menambah 116kg bagi acara snatch untuk menjadikan keseluruhan angkatan 261kg bagi satu lagi rekod dunia.

Rekod keseluruhan 4kg lebih berat berbanding rekod 257kg milik atlet China, Liu Haixia di Thailand pada 2007.

Atlet China, Deng Wei meraih perak selepas memberi tentangan sengit kepada Lin. Dia menamatkan cabaran dengan jumlah angkatan keseluruhan 259kg manakala Jo Pok Hyang dari Korea Utara merangkul gangsa selepas mengangkat bebanan 247kg.

Tzu Chi berkata, saingan diberikan Deng membuatkan dia berusaha bersungguh-sungguh.

“Terima kasih China kerana menjadi musuh ketat dalam membantu saya memberikan aksi terbaik,” katanya.

Deng menafikan berlakunya kesilapan hingga menyebabkan atlet China terlepas pingat emas di Incheon.

“Tidak ada kesilapan. Kami sudah berikan yang terbaik, tapi pencabar kami lebih hebat,” katanya.

Pok Hyang pula mengalami kecederaan ketika acara snatch hingga menjejaskan persembahannya dalam acara clean and jerk.

“Walaupun saya cedera, saya cuba menahan kesakitan itu untuk cuba memberi cabaran mencipta rekod dunia acara clean and jerk,” kata Pok Hyang yang kesedihan.

“Penat lelah dan usaha yang saya berikan tidak memadai jika dibandingkan dengan keputusan ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 September 2014 @ 1:34 AM