Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: “Orang lain boleh, takkan aku tak boleh, Abang pikir ke mak dan ayah juga, Ingat abang, payah kamu belajar payah lagi mak dan ayah kamu cari duit untuk bayar yuran kamu, Ya Allah berilah aku kesungguhan untuk belajar. Amin.”

Itu kata-kata semangat ditulis Muhammad Tarmizi Ab Rahman, 16, yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun enam bulan walaupun kebiasaannya pelajar tahfiz mengambil masa sehingga tiga tahun untuk berbuat demikian.

Kemampuan pelajar Tahfiz An Nur, Desa Jaya di Sungai Tong di sini, mendapat perhatian netizen selepas kemampuannya diviralkan di laman sosial Facebook IRDK (Kelantan) sejak 16 Ogos lalu.

Ramai netizen memuji kemampuannya itu selain memberi dorongan supaya dapat menggunakan kelebihannya ke jalan kebaikan.

Bagi remaja berkenaan, dia menganggap dirinya seperti orang lain dan tidak mempunyai sebarang kelebihan hingga mampu menghafaz 30 juzuk dalam masa setahun setengah itu.

Menurutnya, hanya keyakinan dan keinginan serta dorongan ibu bapa yang membolehkannya menamatkan hafazan terbabit dalam tempoh itu.

Dia juga menjadikan kata-kata semangat yang ditulisnya pada naskah al-Quran dibacanya sebagai pendorong.

Walaupun dia pernah putus semangat untuk menghabiskan hafazan dalam masa singkat, remaja berkenaan kembali nekad melawan segala perasaan negatif yang muncul dalam dirinya itu.

“Setiap kali sukar untuk menghafal, saya akan baca kata-kata semangat yang ditulis sendiri di dalam al-Quran supaya tidak lupa pengorbanan orang tua,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu mengakui, sejak awal tahun ini dia sanggup mengorbankan masa beriadah petang seperti bermain bola bersama kawan-kawan untuk bersendirian dan menghafaz.

“Pada mulanya saya hanya meletakkan sasaran untuk menghabiskan tujuh juzuk hafazan dalam tempoh setahun walaupun sasaran ditetapkan pihak tahfiz kepada setiap pelajar hanya enam juzuk sahaja.

“Pada tahun lalu saya sudah berjaya menghafaz 15 juzuk dan bakinya dihabiskan sehingga semalam (kelmarin),” katanya.

Dia yang berasal dari Bukit Kenak di Jertih berkata, proses hafazan dilalui dengan lancar sepanjang berada di pusat tahfiz hasil bimbingan daripada tenaga pengajar.

Menurutnya, apabila sesekali pulang bercuti ke kampungnya menyebabkan dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk menghafal.

Gurunya, Ghazali Ibrahim berkata, selain daripada kesungguhan dan kerajinan yang ditunjukkan, Tarmizi mempunyai kemampuan untuk menghabiskan bacaan dalam masa singkat.

“Kemampuan setiap pelajar tidak sama, ada lagi yang lebih rajin daripadanya tetapi tidak mampu untuk menghafaz banyak juzuk dalam tempoh singkat.

“Setakat ini Tarmizi menjadi satu-satunya pelajar kami yang mampu menghabiskan kesemua 30 juzuk dalam tempoh setahun setengah berbanding tiga pelajar sebelum ini mengambil masa dua hingga tiga tahun sejak pusat tahfiz ini dibuka pada 2012,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:31 AM
Muhammad Tarmizi (kiri) bersama Ghazali. Gambar kecil, kata-kata semangat untuk diri sendiri yang ditulis Muhammad Tarmizi. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Muhammad Tarmizi (kiri) bersama Ghazali. Gambar kecil, kata-kata semangat untuk diri sendiri yang ditulis Muhammad Tarmizi. FOTO Nurul Fatihah Sulaini