MARZUK menyampaikan Anugerah Siswi Cemerlang, Nurul Iman Raehamilizwan George di Dewan Muktamar, Darul Quran. FOTO Amirudin Sahib
MARZUK menyampaikan Anugerah Siswi Cemerlang, Nurul Iman Raehamilizwan George di Dewan Muktamar, Darul Quran. FOTO Amirudin Sahib
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Kubu Bharu: Walaupun sibuk berpersatuan namun ia tidak menghalang pelajar Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al Qiraat mendapat keputusan cemerlang setiap semester sehingga terpilih menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Siswi.

Nurul Iman Rahamiizwan George, 21, pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ini memperoleh gred kumulatif 4.0 bagi setiap semester dan berjaya menamatkan hafazan al-Quran sebanyak dua kali.

Nurul Iman berkata, walaupun sibuk dan aktif berpersatuan namun dia tetap menjaga masa dan fokus ketika berada di dalam kelas.

Menurutnya, selepas kelas tamat, dia akan mengulang kaji semula subjek yang diambilnya selain hafazan al-Quran.

"Sebenarnya jadual yang ditetapkan Darul Quran itu sudah mencukupi dan kita perlu fokus yang mana, ketika menghafaz, perlu buat betul-betul dan begitu juga ketika belajar.

"Saya juga gembira dan bersyukur dipilih menerima anugerah itu kerana saya tidak mampu memperoleh pencapaian ini tanpa doa ibu bapa dan pensyarah," katanya ditemui selepas selesai Majlis Khatam Hafazan Al-Quran Pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Tahun 2022/1443 di sini, hari ini.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Siswa, Abdul Aziz Imran pula berjaya khatam al-Quran sebanyak tiga kali dengan memperoleh gred kumulatif 3.96.

Abdul Aziz berkata, anugerah itu diterimanya hasil sokongan dan doa daripada ibu bapa, rakan selain tenaga pengajar.

"Tentu sahaja ketika proses menghafaz al-Quran ini ada cabaran namun perlu ada kekuatan dan kesabaran dalam menempuhinya.

"Kita juga perlu menjaga hubungan dengan Allah SWT dan saya sudah dididik mendalami al-Quran sejak berusia empat tahun lagi," katanya.

Katanya, selepas tamat pengajian diploma ini, dia berhasrat untuk menyambung dalam bidang sama di Mesir.

Penerima Anugerah Khas Cemerlang (OKU Penglihatan), Tan Mike Fong, 25, pula berkata, dia pernah ingin berhenti daripada mengikuti pengajian namun kata-kata semangat rakan menjadikan dia lebih kuat sebelum berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

"Rakan-rakan memberi kata-kata semangat dengan kata-kata sedikit lagi nak habis dan ia menyebabkan saya tidak jadi berhenti.

"Selepas ini, saya akan mencari pekerjaan dahulu dan pada masa sama, akan terus mengajar masyarakat dalam bidang qiraat dan bacaan secara dalam talian," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan, Mike yang mengikuti Program Sijil Asas Tahfiz di institusi berkenaan berjaya menghafaz 10 juzuk al-Quran dalam tempoh setahun.

Anak sulung daripada tiga beradik ini dilahirkan buta akibat masalah saraf dan memeluk Islam sejak 2015 selain mendapat sokongan kuat ibunya, Ang Bee Cheng yang setia membantu malah sanggup berulang alik dari kediaman di Kuala Kubu Bharu ke Darul Quran dengan membawa makanan, keperluan dan mengambil semula pakaian kotornya untuk dicuci di rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 3:32 PM