AHMAD Marzuk  (dua dari kiri) bersama  Sirajuddin (kiri sekali) menyampaikan Anugerah Khas Cemerlang (OKU Penglihatan), kepada Tan Mike Fong. FOTO Amirudin Sahib.
AHMAD Marzuk (dua dari kiri) bersama Sirajuddin (kiri sekali) menyampaikan Anugerah Khas Cemerlang (OKU Penglihatan), kepada Tan Mike Fong. FOTO Amirudin Sahib.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Kubu Bharu: Darul Quran mampu melahirkan huffaz yang cemerlang dan pendakwah terlatih berdasarkan sistem pengajian dan kokurikulum pendidikannya.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sistem pengajian dan kokurikulum pendidikan tahfiz di Darul Quran mendapat pengiktirafan dan akreditasi oleh badan pengiktirafan pendidikan di Malaysia iaitu Agensi Kelayakan Malaysia (MOA).

"Justeru, saya yakin dan percaya Darul Quran mampu untuk melahirkan huffaz yang cemerlang serta pendakwah yang terlatih pada masa hadapan.

"Membaca al-Quran sahaja tidak cukup bahkan kita juga perlu mendalami dan memahami setiap makna ayat-ayat al-Quran yang kita baca," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Hafazan al-Quran Pelajar Program Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al-Qiraat Tahun 2022/1443, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Marzuk berkata, di Darul Quran beliau turut difahamkan pengajian bukanlah hanya semata-mata hafazan teks al-Quran sahaja bahkan pelajar turut mempelajari subjek pengajian Islam yang lain seperti Hadis, Tafsir, Feqah, Tajwid dan lain-lain.

"Saya percaya dan yakin bahawa majlis ini amat bermakna kepada pelajar dan ibu bapa kerana bukan mudah seseorang itu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran apatah lagi memiliki sijil khatam hafazan dari Darul Quran selaku institusi tahfiz berwibawa dalam negara.

"Memahami kepayahan pelajar dalam menghafaz bukanlah senang, maka Darul Quran menganjurkan dua konvokesyen iaitu ketika tamat hafazan 30 juzuk al-Quran dan kedua ketika menamatkan pengajian," katanya.

Sementara itu, Sirajuddin berkata, seramai 232 pelajar menerima sijil khatam al-Quran yang mana 137 daripadanya adalah pelajar banin dan 95 lagi pelajar banat.

"Malah 151 pelajar dengan peratusan 65.1 peratus khatam al-Quran 30 juzuk sebelum semester enam lagi.

"Selain itu, 26 pelajar banin dan banat berjaya khatam hafazan al-Quran 30 juzuk lebih dari sekali khatam sepanjang pengajian mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 1:24 PM