Fazurawati Che Lah

Program Sistem Pendidikan Maktab Rendah Sains MARA (SPMRSM) Ulul Albab adalah penyumbang kepada anjakan paradigma sistem pendidikan MRSM.

Program SPMRSM Ulul Albab ialah program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran.

Bermatlamat melahirkan pelajar yang berlatarbelakangkan sains dan tahfiz al-Quran yang dapat memenuhi syarat untuk mengikuti pengajian dalam bidang profesional serta teknikal, MRSM Ulul Albab menekankan proses hafazan, tasmi’, khatam dan murojah.

Penekanan pengajian al-Quran itu untuk melahirkan pelajar yang dapat menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun pengajian di MRSM serta membina budaya saintifik al-Quran dengan pendekatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya.

Sejajar dengan matlamat itu, MRSM Ulul Albab Kepala Batas, Pulau Pinang membawa 105 pelajar tingkatan satu hingga lima mencari kelainan untuk proses hafazan.

PELAJAR bergambar sebelum memulakan perjalanan.
PELAJAR bergambar sebelum memulakan perjalanan.

Perjalanan lebih 300 kilometer dari KL Sentral ke Butterworth, Pulau Pinang dengan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) baru-baru ini terisi dengan alunan al-Quran daripada pelajar MRSM berkenaan.

Proses hafazan dan tasmi’ dijalankan secara beramai-ramai di dua koc yang membabitkan tempoh perjalanan selama empat jam.

Sepanjang perjalanan itu, pelajar memilih sudut tertentu dan tekun menghafaz beberapa surah sebelum menyemaknya dengan empat ustaz.

SEORANG pelajar memilih sudut tertentu untuk menghafaz.
SEORANG pelajar memilih sudut tertentu untuk menghafaz.

Penyelaras Program Shukli Suban, berkata Program ETS dan Perjalananku Bersama al-Quran adalah Projek Rintis Muafakat MRSM Ulul Albab, Kepala Batas bagi meneliti keberkesanan Program Tasmi’ di dalam ETS untuk diperluaskan dan dijalankan pada cuti sekolah yang akan datang.

Katanya program kali pertama itu juga memanfaatkan perjalanan ETS dari Stesen KL Sentral ke Stesen Butterworth dengan memperdengarkan ayat al-Quran yang dihafal untuk disemak bacaan dan hafazan oleh ustaz.

USTAZ menyemak dan membetulkan bacaan.
USTAZ menyemak dan membetulkan bacaan.

Katanya, proses memperdengarkan ayat hafazan untuk semakan Ustaz atau dikenali tasmi’ itu dihafal pelajar berkenaan sepanjang minggu cuti sekolah pada Mac lalu.

“Melalui pendekatan ini, kami mengambil keberkatan musafir bagi meraikan pelajar yang telah khatam hafazan 30 Juzuk dan yang bakal khatam.

“Program ETS dan Perjalananku Bersama Al-Quran adalah inisiatif tambahan membantu pelajar untuk bersemangat memperdengarkan hafazan mereka kepada ustaz sebelum persekolahan bermula.

“Didapati pelajar begitu bersemangat dan seronok sepanjang perjalanan itu kerana medium luar sekolah yang dipilih membolehkan pelajar menghafaz sambil menikmati pemandangan luar,” katanya.

PELAJAR menghafaz secara berkumpulan.
PELAJAR menghafaz secara berkumpulan.

Sebaik ETS memulakan perjalanan iaitu seawal 11 pagi, proses tasmi’ diadakan di KOC F.

Pelajar yang bersedia dengan hafazan akan bergilir-gilir memperdengarkan hafazan untuk semakan. Jika ayat hafazan tidak lancar, pelajar diminta mengulang hafazan hingga lancar.

Menurut Syukli, jumlah halaman hafazan mengikut kesungguhan pelajar menghafaz ketika cuti sekolah lalu dan pemarkahan diberikan untuk rekod pencapaian pengajian berkenaan.

USTAZ meneliti bacaan pelajar.
USTAZ meneliti bacaan pelajar.

Katanya, hafazan adalah sebahagian subjek pengajian al-Quran di MRSM Ulul Albab.

Biarpun kepadatan ruang waktu untuk melakukan pelbagai aktiviti di samping pembelajaran akademik seharian, pelajar Ulul Albab sangat komited dalam menghafaz al-Quran.

“Pelajar akan melakukan hafazan sebanyak empat sesi selepas solat Subuh, mereka juga dikehendaki meneruskan hafazan di rumah sepanjang cuti sekolah dan cuba mendapatkan sebanyak mungkin halaman muka surat hafazan,” katanya.

Program SPMRSM Ulul Albab bermatlamatkan untuk melahirkan ahli profesional, teknokrat dan usahawan yang bukan saja berilmu pengetahuan tetapi mempunyai kemahiran dalam bidang keagamaan berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai generasi Ulul Albab.

Program ini adalah hasil cetusan idea mantan Pengerusi MARA Datuk Seri Idris Jusoh dalam usaha untuk mentransformasi sistem pendidikan khususnya MARA.

PELAJAR memperdengarkan bacaan kepada ustaz.
PELAJAR memperdengarkan bacaan kepada ustaz.

INFO

Jumlah keseluruhan MRSM Ulul Albab terkini

1. MRSM Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang

2. MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan

3. MRSM Kota Putra, Terengganu

4. MRSM Sungai Besar, Selangor

5. MRSM Semporna , Sabah

Pelaksanaan Ulul Albab

1. Muqarrar Tahfiz (Silibus) Tingkatan satu

• Semester satu - Empat surah pilihan dan lima juzuk (Surah al-Sajadah, Yaasin, al-Dukhan, al-Mulk dan juzuk satu hingga juzuk lima).

• Semester dua - Enam juzuk ( juzuk enam hingga juzuk 11 )

2. Tingkatan dua

• Semester satu - Enam juzuk ( juzuk dua belas hingga juzuk 17)

• Semester dua - Enam juzuk (juzuk 18 hingga juzuk 23)
3. Tingkatan tiga

• Semester satu - Enam juzuk (juzuk dua puluh empat hingga dua puluh Sembilan)

• Semester dua - Satu juzuk (juzuk 30 )

Kurikulum program SPMRSM Ulul Albab

• Peringkat PT3 pelajar akan mengambil sembilan subjek termasuk subjek Bahasa Arab

• Peringkat SPM pelajar akan mengambil subjek Bahasa Arab, al-Quran Wa al-Sunnah dan Syariah Islamiah.

Ciri-Ciri Ulul Albab

Pelajar keluaran SPMRSM Ulul Albab akan mempunyai tiga ciri utama iaitu:

1. Quranik - Pelajar mampu menghafal Al-Quran sebanyak 30 juzuk dalam masa tiga tahun dan memahami isi kandungannya.

2. Ensiklopedik - Pelajar mampu berkomunikasi dalam beberapa bahasa asing yang lain seperti bahasa Mandarin, Arab dan Jepun

3. Ijtihadik - Pelajar mampu memberikan pandangan dan buah fikiran dalam menjawab persoalan ummah serta berfikiran kreatif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 12:46 PM