Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG remaja membuktikan kemampuan menghafaz al-Quran dalam tempoh 42 hari melalui Program Tahfiz Integrasi An Nur (PTI) di pusat tahfiz berkenaan di Seri Manjung, Manjung.

Kejayaan Nurfilzah Syakirah Mohd Zulhairi, 18, antara rekod terbaik program anjuran MyFundAction yang sebelum ini dikenali sebagai Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM) sejak ia dimulakan pada 2018.

Program berkenaan menyasarkan hafazan minimum 20 juzuk selama tiga bulan bagi melahirkan generasi huffaz profesional yang bukan saja mahir ilmu duniawi, malah ukhrawi.

Nurfilzah Syakirah berkata, perasaannya bercampur gembira dan sayu selepas berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran yang menjadi panduan hidup.

Bagaimanapun katanya, kejayaan itu bukan alasan untuknya membanggakan diri sebaliknya akan sentiasa mengulang hafalan supaya kalam Allah itu terus subur dalam dirinya.

“Saya menghafal al-Quran kerana Allah dan dengan izin-Nya juga berjaya menghabiskan hafalan. Ini bukan sesuatu yang mudah dan banyak cabarannya tetapi selagi ada usaha dan kemahuan ia akan terasa mudah.

“Dalam gembira dapat menghafal al-Quran ada terselit rasa takut jika terlupa hafalan dan sebab itu saya akan selalu mengulang atau dalam fasa murojaan supaya hafalan tidak hilang.

“Menghafal al-Quran bukan hafalan semata-mata tetapi tajwid dan bacaannya juga perlu betul selain mendalami serta memahami terjemahannya yang menjadikan kita lebih teruja untuk menghafal,” kata bekas pelajar sekolah agama swasta dan berasal dari Shah Alam, Selangor itu.

Katanya, tiada rahsia yang diamalkan untuk menghabiskan hafalan dalam tempoh berkenaan sebaliknya mempunyai kemahuan yang tinggi dan rasa cinta kepada al-Quran selain tidak makan makanan ringan untuk membantu menguatkan daya ingatan.

“Setiap hari saya menghafaz al-Quran mengikut enam slot yang ditetapkan bermula 4.30 pagi hingga 12 tengah malam dan biasanya selepas slot tamat saya akan tasmik (menghantar hafalan yang sudah dihafal).

“Saya juga suka meletakkan sasaran jumlah muka surat yang akan dihafal dan selalu bermula tujuh muka surat dan paling banyak 25 muka surat sehari.

“Konsep ‘tebuk challenge’ iaitu diuji bacaan secara rambang juga banyak membantu dan memudahkan proses hafalan selain membetulkan kesalahan,” katanya yang turut berharap lebih ramai golongan muda dapat menghafal al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 3:10 PM
NURFILZAH Syakirah (kiri) berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 42 hari bersama gurunya, Ustazah Aliatul Hafizoh Tafsir di Pusat Tahfiz Integrasi An Nur (PTI), Seri Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.
NURFILZAH Syakirah (kiri) berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 42 hari bersama gurunya, Ustazah Aliatul Hafizoh Tafsir di Pusat Tahfiz Integrasi An Nur (PTI), Seri Manjung. FOTO Noor Hidayah Tanzizi.