Melaka: Gandingan penjaring terbanyak Liga Perdana Ila Spasojevicv (gambar) dan penyerang kelahiran Palestin Yashir Pinto bakal menjadi taruhan Melaka United (MU) ketika menentang Sabah dalam aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat malam ini.

Selepas khidmat Pinto tidak digunakan pada saingan Piala Malaysia berdepan Negeri Sembilan, Jumaat lalu, kehadiran semula pemain terbabit dipercayai mampu menyuntik bisa barisan serangan tuan rumah.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, kedua-dua pemain itu akan memainkan peranan penting dalam usaha menjaringkan gol.

“Namun saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol, apa yang penting jaringan mampu dihasilkan.

“Kami hanya mahu menang bagi melebarkan jarak dengan pencabar terdekat Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan PKNS FC,” katanya.

Mat Zan berkata, kedudukan mereka di persada liga belum selamat andai gagal meraih mata maksimum bagi baki lima perlawanan.

Tapi, apa yang meyakinkan bekas pemain kebangsaan itu adalah kehadiran semula import Romania Alex Tudose serta R Surendran.

Katanya, skuad malam ini yang terbaik namun pemain tidak harus terlalu yakin dengan kelebihan gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:27 AM