BARISAN pemain Melaka United sedia takluki Liga Perdana.
BARISAN pemain Melaka United sedia takluki Liga Perdana.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) akan menurunkan barisan terbaik bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di pentas Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput 9 September ini.

Ia berikutan perlawanan itu amat penting dalam memenuhi misi meraih kemenangan atau sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri bagi membolehkan (MU) diisytihar sebagai juara Liga Perdana sekali gus layak ke Liga Super musim depan.

Pengurus pasukan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi (gambar) berkata, Ilja Spasojevic yang mengalami kecederaan sebelum ini diharap mampu diturunkan pada perlawanan itu.

Katanya, kehadiran semula pemain itu mampu memperkasa MU bagi menyumbang gol buat pasukan dalam masa sama memastikan misi skuad Hang Tuah mampu direalisasi di depan penyokong sendiri.

Menurutnya, jika menang atau seri sudah cukup buat MU disahkan secara mutlak sebagai juara tanpa perlu menunggu dua perlawanan terakhir bertemu PKNS dan Sime Darby.

“Apa yang pasti jurulatih Mat Zan Mat Aris juga sedang memperkemas barisan pertahanan bagi memastikan kubu pasukan tidak mudah dibocori lawan. Secara statistiknya tiada gol oleh pelawat bermakna satu mata dalam tangan mampu diraih.

“Namun kami beraksi bukan untuk seri sebaliknya mahu menambah tiga mata yang mampu memastikan kedudukan juara terjamin. Manakala barisan tengah juga dilihat tetap diberi perhatian terutama dalam mengatur gerak lebih tersusun ketika melakukan serangan ke kubu lawan,” katanya.

Apapun Mat Zan nyata melihat saingan Johor DT II amat getir tambahan pelawat juga memiliki misi untuk menang dan cuba memberi saingan kepada MU di persada liga.

Mat Zan berkata, justeru beliau mahu pemain tetap berwaspada serta tidak alpa sepanjang perlawanan yang boleh menjejaskan peluang pasukan meraikan kejayaan lebih awal.

Katanya, beliau akan menurunkan semua pemain cergas dan memiliki prestasi terbaik bagi merealisasikan sasaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:36 AM